Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

TERTUDUH MENGGIGIL, PUCAT SEBAIK LIHAT PASUKAN PASKAL – SAKSI

kes tanduo

KOTA KINABALU, 12 Feb : Seorang tertuduh dalam perbicaraan kes pencerobohan Lahad Datu dilihat menggigil dan wajahnya pucat sebaik melihat kehadiran anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) di kampungnya, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Pegawai Waran 2 Paskal Khirolrizal Ahmad, yang ketika itu bertugas di KD Sri Semporna sebagai Bintara Operasi, berkata pada 11 pagi 28 Mac 2013, di Kampung Simunul di Semporna, ketika beliau dan pasukannya mencari rumah suspek yang dikaitkan dengan pencerobohan dan pertempuran di kampung tersebut pada awal bulan itu, beliau melihat seorang lelaki berjalan mundar-mandir di hadapan sebuah rumah dipercayai rumah lelaki berkenaan.

“Perbuatan lelaki itu menimbulkan kecurigaan pada saya kerana belum ada lagi individu yang saya nampak berkelakuan seperti lelaki itu semasa kami membuat pemeriksaan di rumah-rumah di kampung itu,” katanya.

Khirolrizal, saksi pendakwaan ke-72, memberi keterangan pada hari perbicaraan ke-118, membabitkan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan di Kampung Tanduo di Lahad Datu yang mengejutkan negara dua tahun lepas.

Saksi tersebut berkata beliau melihat seorang wanita dipercayai isteri lelaki itu, yang berkelakuan sama seperti suaminya dan ada tiga lelaki di dapur rumah berkenaan.

 

“Saya memanggil lelaki tersebut (yang mundar-mandir) supaya menghampiri saya dan saya arah dia bawa saya masuk ke dalam rumah tersebut supaya saya boleh membuat tinjauan di dalam rumah,” katanya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, Khirolrizal berkata lelaki itu membawanya ke rumah tertuduh, dan berhenti di bahagian luar dapur, manakala ketiga-tiga lelaki itu berada di dalam dapur.

“Saya tidak masuk ke dalam (rumah). Sebaliknya, saya tanya dia, siapa tiga lelaki yang duduk di meja yang terhidang dengan makanan itu.

“Dia menjawab, tiga lelaki itu adalah pekerjanya,” katanya dan menambah ketiga-tiga lelaki itu yang sedang makan, juga kelihatan pucat dan menggigil sebaik melihat saksi di luar rumah.

Khirolrizal memberitahu mahkamah beliau bertanya pemilik rumah itu, di mana kad pengenalannya dan tertuduh berkata ada di dalam rumah.

“Saya mengarahkannya untuk masuk ke dalam rumah dan mengambil kad pengenalannya dan pada masa sama, saya suruh tiga lelaki itu keluar ke depan rumah,” katanya.

Sebaik lelaki itu keluar dari rumah, dia menyerahkan kad pengenalannya kepada saksi dan selepas melihat sekali imbas namanya, Khirolrizal berkata beliau menyedari nama Totoh Hismullah, adalah seorang daripada suspek yang disenaraikan kepadanya oleh pegawai kanan Cawangan Khas Datuk Hamid Bador, pada awal pagi itu.

“Selepas saya menyerahkan kad pengenalannya kepada Bintara Kanan Tuzarol Sarip, saya mengarahkan seorang anggota saya melututkan lelaki itu supaya saya boleh menggari tangannya dari belakang,” katanya.

Khirolrizal berkata pemeriksaan badan terhadap Totoh, yang didakwa melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi anggota kumpulan pengganas, tidak menemui sebarang senjata berbahaya.

Saksi juga memberitahu mahkamah pemeriksaan badan juga dilakukan terhadap tiga lelaki lain dan tidak menemui sebarang senjata berbahaya, tetapi terdapat kesan calar pada badan mereka.

Saksi juga berkata ketiga-tiga lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen peribadi yang memaksa pegawai tentera laut itu menanyakan nama mereka.

“Saya tidak dapat nama mereka kerana mereka tidak fasih berbahasa Melayu. Saya tidak tahu mereka berasal dari mana. Saya agak mereka dari selatan Filipina,” kata Khirolrizal.

Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April, 2013. Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok.-BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan