Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,642

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Tertuduh Mengaku Terlibat Dengan Penceroboh Bersenjata Sulu

9:42pm 15/12/2015 Pak Roshan 727 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

bicara-tanduo

KOTA KINABALU : Mahkamah Tinggi di sini Selasa, diberitahu beberapa tertuduh dalam perbicaraan insiden pencerobohan Lahad Datu, mengaku terlibat dengan sekumpulan lelaki bersenjata Sulu yang menceroboh Kampung Tanduo pada Februari 2013.

Pegawai Undang-Undang kontinjen polis Sabah, DSP Ang Seow Aun berkata kenyataan yang direkodkan polis daripada beberapa tertuduh itu, adalah bukti bagi membolehkan mereka didakwa atas kesalahan keselamatan.

“Saya membaca pengakuan mereka dalam kenyataan dibuat di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (CPC), dan itu adalah apa saya faham (penglibatan dengan penceroboh bersenjata Sulu),” katanya semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk N. Sivananthan pada perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan tersebut.

Pegawai polis itu berkata empat daripada tertuduh – Salib Akhmad Emali, Anwar Akhmad, Binhar Akhmad dan Masir Aidin – bukan sahaja mengaku mereka tahu tentang pencerobohan tersebut tetapi juga membekalkan makanan kepada penceroboh.

Bagi Ismail Yassin, yang ditahan ketika mendayung bot di laut dekat Kampung Tanduo, Ang berkata tertuduh memberitahu beberapa pegawai polis bahawa dia datang ke Kampung Tanduo bersama kumpulan bersenjata Sulu.

“Tetapi selepas pertempuran pada 1 Mac 2013, dia cuba melarikan diri dan tiba di Kampung Sungai Bilis di mana dia menjumpai sebuah bot,” katanya.

Ang memberitahu mahkamah tertuduh Virgilio Nemar Patulada @ Mohammad Alam Patulada, disiasat atas kesalahan keselamatan selepas dia dikesan dalam gambar diambil oleh pasukan keselamatan apabila rundingan diadakan dengan penceroboh di Kampung Tanduo.

Saksi itu berkata Patulada juga mengaku datang ke Kampung Tanduo bersama penceroboh bersenjata dan dilantik sebagai pegawai keselamatan untuk pemimpin mereka Datu Agbimuddion Kiram.

“Tetapi dalam kenyataan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, beliau berkata sebaik sahaja pertempuran (pada 1 Mac 2013) meletus, dia melarikan diri dan mahu menyerah diri kerana tidak mahu menjadi sebahagian daripadanya kerana dia dijanjikan tidak akan berlaku peperangan. Adakah itu benar? tanya Sivananthan.

Ang menjawab: “Mengikut apa yang saya faham, itulah yang tertuduh katakan”.

Saksi itu juga berkata tertuduh Aiman ??Radie mengaku di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen bahawa dia dibawa bersama ke Kampung Tanduo dengan janji menerima gaji bulanan sebanyak 16,000 Pesos untuk mengadakan perhimpunan dan memasang sepanduk sebaik sahaja ‘Sabah adalah milik kita’.

Sejumlah 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan atas beberapa pertuduhan yang mempunyai kaitan dengan pencerobohan oleh kumpulan lelaki bersenjata Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013.

Mereka menghadapi pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 12 Feb dan 10 April 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah itu, bersambung esok.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan