Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,655

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Tertuduh Kes Pencerobohan Lahad Datu Tidak Nampak Senjata Api Dalam Bot

7:18pm 11/03/2016 Pak Roshan 487 views Isu Semasa,Mutakhir

tanduo

KOTA KINABALU : Seorang warga Filipina yang dituduh dalam kes pencerobohan Lahad Datu tidak melihat sebarang senjata api dalam bot semasa dia belayar dari Bungao, di Filipina ke Kampung Tanduo di Lahad Datu, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu Jumaat.

Bagaimanapun, Basad H. Manuel, 41, berkata dia melihat sesuatu yang kelihatan seperti buntut senapang dalam bot dan tidak merasa luar biasa jika ada senjata api dalam bot semasa belayar di laut.

“Ada ketikanya lanun akan merompak (di laut),” dia menjelaskannya dalam bahasa Bajau, di mana keterangannya diterjemahkan jurubahasa mahkamah.

Basad membela diri atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong semasa pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo di Lahad Datu pada 2013.

Tertuduh yang memberi keterangan sebagai saksi ke-10 pendakwaan berkata dia datang ke Sabah dengan 70 hingga 100 orang dalam sebuah bot selepas dijanjikan kerja di pejabat dan kad pengenalan Malaysia oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Edie’.

Katanya Edie mendakwa terdapat jemputan daripada kerajaan Malaysia menawarkan peluang pekerjaan di Sabah untuk rakyat Filipina di kampungnya.

Basad berkata dia mempunyai ijazah dalam pengajian komputer, tetapi tidak mampu untuk mendapatkan pekerjaan di negaranya kerana tidak mempunyai hubungan sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta.

“Sebab itu saya tertarik untuk menerima tawaran Edie ini. Tambahan pula, katanya, tempat itu yang akan menjadi tempat yang menyeronokkan untuk bekerja,” katanya.

Bagaimanapun, dia tidak bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, yang membuat pendakwaan, yang Edie hendak melatih orang untuk menyertai pencerobohan di Sabah.

Basad berkata dia tidak bertanyakan Edie tentang mendapatkan dokumen yang sah untuk bekerja di Sabah memandangkan Edie memberitahunya bahawa kerajaan Malaysia akan membuat persiapan yang perlu.

Tiga belas warga Filipina dan seorang lelaki tempatan membela diri di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah atas pelbagai kesalahan yang didakwa dilakukan antara 12 Feb dan 10 April 2013.

Sebahagian daripada tertuduh dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menjadi anggota kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Sebahagian yang lain pula dituduh secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas, atau mencari atau memberi sokongan kepada sebuah kumpulan pengganas.

Perbicaraan bersambung pada 4 April.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan