Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Tertuduh beri isyarat ‘diam’

keraniambank

SHAH ALAM: “Tertuduh memberikan isyarat ‘diam’ kepada kami sebelum meninggalkan tempat kejadian,” kata seorang kakitangan AmBank, Laila Azwa Samingan, 28, ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, dalam perbicaraan pembunuhan seorang kakitangan bank, 23 Oktober tahun lalu.

Menurut Laila, pada petang kejadian, dia dan seorang lagi kakitangan, Ifasri Wahyuni Mansur berada di kaunter operasi bank dan sedang memproses cek sebelum terdengar bunyi letupan kuat.

“Sebaik mendengar letupan itu, saya terus menoleh ke belakang dan melihat apa yang berlaku terhadap Kak Ita (Norazita Abdul Talib).

“Saya kemudian terus pergi ke pintu gelangsar untuk bersama dengan seorang lagi kakitangan, Arzanna Abdullah, berhampiran peti besi sebelum ternampak dia (La Ode) bergegas untuk keluar menerusi pintu utama dan menunjukkan isyarat ‘diam’ menggunakan jari,” katanya yang juga saksi ke-10 perbicaraan berkenaan.

Sementara itu, saksi ke-11, Lapolo Lariala, 29, memberitahu mahkamah bahawa dia membenci tertuduh kerana menganggap tertuduh menganiayanya.

Lapolo yang juga pengawal keselamatan dijatuhkan hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya tahun lalu selepas didapati bersalah memiliki harta yang dirompak iaitu wang berjumlah RM21,800 milik AmBank Berhad.

Dia juga turut memberitahu mahkamah, dia tidak tahu mengenai perbuatan tertuduh namun bertindak membuang baju seragam serta motosikal milik tertuduh kerana tidak mahu dikaitkan dengan sebarang kegiatan jenayah.

“Tertuduh menyerahkan beg berisi wang tunai yang kesemuanya dalam bentuk not RM100, namun saya tidak tahu berapa jumlahnya dan meminta saya menyerahkannya kepada isterinya.

“Oleh kerana wang itu dalam jumlah yang banyak, saya terus menyembunyikannya di dalam tangki air yang terletak di belakang rumah saya,” katanya.

La Ode dituduh membunuh Norazita, 37, di AmBank Jalan USJ Sentral, Subang Jaya dengan melepaskan tembakan menggunakan senjata api ‘pump gun’, dalam kejadian di antara jam 6 hingga 6.30 petang, 23 Oktober tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh melepaskan tembakan ketika merompak dengan niat menyebabkan kematian mangsa pada tarikh, tempat dan waktu sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azari Harun dan Muhamad Asyraf Md Kamal di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir manakala tertuduh diwakili peguam bela S Selvi dan perbicaraan akan bersambung hari ini.

 

Komen


Berita Berkaitan