Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Terowong Sepanggar Dilancar, Lonjak Operasi Kawasan Industri

KOTA KINABALU, 14 Nov – Terowong Sepanggar sepanjang 600 meter dengan kedua-dua hala mempunyai dua lorong yang menghubungkan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Pelabuhan Kontena Sepanggar serta beberapa kawasan sekitarnya dirasmikan hari ini dan dibuka kepada trafik mulai Sabtu ini.

Terowong yang mula dibina pada 2011 dan siap dalam tempoh empat tahun lapan bulan itu merupakan satu daripada projek Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC).

Projek menelan kos RM81,552,316.29 termasuk pembinaan jalan ke Kampung Lokub itu dibiayai oleh kerajaan Persekutuan melalui SEDIA dengan kerja-kerja pembinaan projek dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Kontraktor Pembinaan Azam Jaya Sdn Bhd serta Juru Perunding Pertama.

Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman berkata pembukaan terowong itu adalah satu lagi pencapaian dan kejayaan pembangunan infrastruktur dilaksanakan kerajaan di Sabah selain bukti komitmen kerajaan dalam membawa agenda pembangunan menyeluruh dan seimbang termasuk meningkatkan perhubungan jalan raya di sesuatu kawasan.

“Pembukaan terowong ini akan merancakkan lagi kegiatan ekonomi negeri khususnya dalam sektor pembuatan, perkilangan, perkhidmatan logistik dan sokongan kepada operasi eksport dan import sekali gus menjadikan KKIP dan Pelabuhan Sepanggar lebih berdaya saing,” katanya pada majlis pembukaan terowong itu di sini, hari ini.

Teks ucapan Musa dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah yang mewakili ketua menteri pada majlis itu.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun, Menteri Tugas-Tugas Khas negeri Datuk Teo Chee Kang, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman dan Pengarah JKR Sabah Datuk Ir Amrullah Kamal.

Musa berkata Terowong Sepanggar itu akan dapat memendekkan lagi jarak perjalanan penghantaran barangan ke pelabuhan sekali gus mempercepatkan operasi serta pergerakan kontena selaras dengan rancangan untuk membesarkan Pelabuhan Sepanggar.

“Laluan alternatif ini akan mengurangkan kesesakan trafik selain perjalanan lebih tersusun mengikut destinasi. Sektor industri mahupun perusahaan kecil dan sederhana juga dapat menjimatkan masa serta kos perjalanan seterusnya mewujudkan persekitaran ekonomi lebih kondusif,” katanya.

Menurut ketua menteri, kerajaan negeri sentiasa mengambil berat kepesatan pembangunan di Sepanggar memandangkan kawasan itu sedang mengalami proses pemodenan yang memerlukan kemudahan infrastruktur jalan raya efisien untuk menampung pertambahan trafik.

Musa juga berkata kerajaan sedang memperhebat usaha menggalakkan pelaburan ke kawasan itu kerana kedudukannya strategik selain persekitarannya sesuai bagi pembangunan industri berat, yang dipercayai akan menjana pertumbuhan sosio ekonomi tempatan dengan pembukaan kawasan baharu di sekitarnya termasuk KKIP.

Terowong Sepanggar juga merupakan laluan alternatif ke pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia dan Cement Industri Sabah selain turut memanfaatkan penduduk di kira-kira lima kampung dengan masa perjalanan dapat dipendekkan 15 minit daripada laluan biasa.

Sementara itu, Pairin ketika ditemui pemberita berkata, kementeriannya mahu wakil rakyat di Sabah mengenal pasti mana-mana lokasi di kawasan mereka yang dilihat sesuai dilaksanakan pembinaan terowong jalan raya jika ia terbukti lebih ekonomik dalam jangka masa panjang.

“Pandangan dan maklumat daripada wakil rakyat itu akan dikumpul sebelum kami mengenal pasti dan mengambil kira kesesuaian pembinaan terowong jalan raya di kawasan mereka,” katanya.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan