Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Tentera tangguh cari penceroboh cedera setelah anggotanya ditembak

pic-78

KOTA KINABALU: Pegawai Memerintah Kompeni Askar Melayu Diraja memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam bahawa gerakan mencari dua penceroboh yang cedera di Kampung Sungai Nyamuk, Lahad Datu tahun lepas, ditangguhkan apabila seorang anggotanya, Prebet Ahmad Hurairah Ismail ditembak mati.

Mejar Mohd Sukri Ismail berkata insiden itu berlaku pada 12 Mac tahun lepas ketika pasukannya sedang menjalankan gerakan mencari dua penceroboh yang cedera dalam kejadian tembakan dengan pasukan keselamatan antara  10.15 pagi dan 11.30 pagi hari sama sebelum mereka melarikan diri ke kawasan semak.

“Saya tidak teruskan penggeledahan selepas Hurairah terkena tembakan,” katanya.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff sama ada laporan polis dibuat mengenai kejadian yang menimpa Ahmad Hurairah, Mohd Sukri berkata beliau tidak pasti tetapi percaya ia sudahpun dilakukan.

Pegawai Memerintah itu memberitahu mahkamah bahawa beliau terus berada di Kampung Sungai Nyamuk untuk melakukan operasi sekatan sehingga 14 Mac tahun lepas sebelum ditugas menjalankan operasi rutin di Markas Taktikal Batalion Ketujuh Askar Melayu Diraja di Kampung Tanduo bagi lapan hari berikutnya.

“Dari 22 Mac, 2013, saya dan kompeni saya dalam keadaan bersiap sedia menunggu arahan seterusnya sehingga kami balik ke (Batalion Ketujuh RAMD) Kem Kukusan di Tawau pada 31 Mac, 2013,” katanya.

Seramai 30 orang terdiri daripada 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan dengan sebahagian mereka menghadapi pelbagai pertuduhan menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota kumpulan pengganas atau dengan sengaja melindungi  individu yang mereka ketahui adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itui antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung hari ini.

Komen


Berita Berkaitan