Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Tenom boleh jadi pengeluar utama pisang

PISANG Sabah boleh dimajukan mengikut kesesuaian tanah. – Foto fail NSTP

 

KOTA KINABALU: Tenom berpotensi menjadi pengeluar Pisang Sabah yang utama di negeri ini berdasarkan kualiti hasil tanaman berkenaan yang dikeluarkan di daerah itu diiktiraf sebagai terbaik di Sabah.

Jamawi Jaafar (WARISAN-Kemabong) ketika membahaskan usul ucapan dasar Yang di-Pertua Negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, berkata perkara itu diakui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Sehubungan itu, katanya, usaha perlu diambil bagi mengembangkan lagi tanaman berkenaan dalam usaha mempelbagaikan pengeluaran hasil pertanian dan pendapatan petani, khususnya di luar bandar.

“Tenom, termasuk Kemabong adalah pengeluar Pisang Sabah berkualiti dan ini diakui oleh pihak FAMA. Saya melihat tanaman itu boleh dimajukan mengikut kesesuaian tanah.

“Sehubungan itu, saya harap kerajaan negeri melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan agensinya dapat melaksanakan pelbagai program sama ada latihan, khidmat nasihat dan bantuan untuk membangunkan sektor pertanian khususnya tanaman Pisang Sabah,” katanya.

Jamawi turut menggesa kerajaan negeri memberi perhatian kepada masalah infrastruktur asas yang masih membelenggu penduduk luar bandar negeri ini termasuk di Kemabong.

Beliau berkata, isu bekalan air bersih yang sering terputus disebabkan kerosakan pam di loji pemprosesan air, bekalan elektrik yang belum menyeluruh dan keadaan jalan raya tidak memuaskan di kawasannya perlu diselesaikan.

“Saya yakin hubungan baik antara kerajaan negeri dan Pusat memudahkan permohonan peruntukan untuk meningkatkan kualiti kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik yang tentu memerlukan perbelanjaan begitu tinggi,” katanya.  – Oleh Kristy Inus; Mohd Izham Unnip Abdullah dan Ryan Stanley/BH Online

Komen


Berita Berkaitan