Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Tenggiling Hadapi Ancaman Kepupusan Akibat Kerakusan Manusia

tenggiling

KOTA KINABALU — Tenggiling Sunda (Manis javanica) mungkin pupus di Sabah kerana beberapa faktor, termasuk kegiatan perniagaan oleh penduduk tempatan dengan sindiket terancang, yang dipercayai mempunyai rangkaian antarabangsa.

Walaupun haiwan ini diburu secara berleluasa kerana dagingnya dan kegunaan lain, namun, tidak seperti gajah Borneo dan orang utan, nasibnya tidak dibincangkan secara terbuka.

Ramai mengakui membuat penyelidikan tentang tenggiling bukan tugas mudah, namun ia perlu dilakukan untuk membolehkan semua pihak lebih memahami ancaman yang dihadapinya.

Pendapat ini dikongsi anak jati Sandakan, Elisa Panjang, yang boleh dianggap sebagai pejuang nasib tenggiling, hasil daripada kecintaannya terhadap haiwan itu sejak mengikuti pengajian di universiti.

Melalui penyelidikannya tentang ekologi tenggiling, pelajar program sarjana di Universiti Malaysia Sabah ini mendapati, selain akibat diburu secara haram, kemusnahan habitat juga memberi kesan buruk terhadap tenggiling iaitu apabila sumber makanannya seperti semut dan anai-anai dihapuskan dan tempat ia bersarang di hutan matang, juga dimusnahkan.

“Tenggiling agak mudah ditangkap kerana ia suka menggulungkan badan menjadi seperti bola apabila terancam. Kajian oleh TRAFFIC, pertubuhan yang menentang jenayah terhadap hidupan liar, mendapati pemburu di Sabah mempunyai pelbagai latar belakang dan selalunya mereka memburu haiwan untuk menambah pendapatan.

“Orang tempatan juga makan daging haiwan ini. Kita perlukan lebih banyak data tentang populasi tenggiling dan tebarannya serta kesan yang dialaminya daripada kegiatan pemburu haram dan peniaga.

“Menurut anggaran berdasarkan maklumat yang dikeluarkan TRAFFIC pada 2010, sekurang-kurangnya 22,000 tenggiling ditangkap di Sabah dalam tempoh kira-kira 14 bulan,” kata Elisa dalam kenyataan dikeluarkan Land Empowerment Animals People (LEAP), sebuah petubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini.

Elisa, yang bercadang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah kedoktoran (PhD) serta menjalankan kajian tentang haiwan ini dengan kerjasama Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) dan Cardiff University, berkata kini wujud keperluan mendesak untuk lebih memahami nasib yang dihadapi tenggiling sebagai makanan eksotik, selain memberi kesedaran kepada pemburu haram dan bakal pemburu.

Satu bengkel untuk membincangkan langkah bagi mewujudkan kesedaran pelbagai pihak tentang haiwan ini akan diadakan pada 21 Ogos di Jabatan Hidupan Liar Sabah.

“Kami harap, bengkel dibiayai Lush Cosmetics ini akan menjadi langkah pertama ke arah memberi perlindungan lebih berkesan terhadap tenggiling Sunda di Sabah.

“Ia akan menghimpunkan penyelidik, pegawai hidupan liar, pendidik alam sekitar dan anggota NGO untuk berkongsi data tentang kegiatan pemerdagangan dan pemuliharaan tenggiling, mengenal pasti jurang dari segi sumber dan pengetahuan, merancang kempen kesedaran dan menetapkan tindakan yang perlu diambil bagi mengelak kepupusan spesies ini,” kata Dr Benoit Goossens, pengarah DGFC dan penganjur bersama bengkel itu.

Tenggiling boleh didapati di kebanyakan kawasan di Asia Tenggara – dari Myanmar hinggalah ke wilayah tengah dan selatan Laos, kebanyakan kawasan di Thailand, wilayah tengah dan selatan Vietnam dan Kemboja, dari Semenanjung Malaysia hinggalah ke Sumatera, Jawa dan kepulauan berhampirannya (Indonesia) hingga ke Borneo.

Walaupun tidak terdapat banyak data tentang populasi haiwan ini kerana kekurangan kajian mengenainya dan sifat haiwan malam ini yang sukar difahami, namun ada petunjuk bahawa jumlah tenggiling Sunda berkurangan hingga sebanyak 80 peratus sejak dua dekad lepas.

Memandangkan haiwan ini diburu secara berleluasa, bulan lepas, Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa (IUCN) meningkatkan taraf tenggiling Sunda ke peringkat Senarai Merah bagi mengelaknya mengalami kepupusan.

Di Sabah, haiwan ini disenaraikan sebagai Haiwan Terlindung dalam Bahagian Satu Jadual Dua Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Negeri 1997, yang bererti mereka yang ingin memburunya perlu mendapatkan lesen. Seseorang yang memburu haiwan ini tanpa lesen boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Komen


Berita Berkaitan