Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,736

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Tenang Dinaungi Tuhan Pemilik Alam: Tafsir Surah Ar-Ra’d, Ayat 28

2:07am 19/11/2015 Zakir Sayang Sabah 91 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Kalau ditanya, mana nak dapatkan duit? Kita akan kata “Kena bekerjalah.” Kerana dengan bekerja, kita akan mendapat duit yang datangnya dari majikan kita. Bila nak keluarkan duit, orang akan kata: “Keluarkanlah di ATM Machine.” Kerana bila kita pergi ke ATM Machine, petik pin kod akaun bank kita, letak berapa bilangan kita nak keluarkan, barulah duit akan keluar dan boleh dipegang dengan tangan.

Itu antara contoh-contoh sahaja dari perbuatan harian kita.

Persoalan seterusnya, “Mana nak dapatkan ketenangan?” Jawapan yang pelbagai akan muncul. Ada yang kata: “Berkurung dalam bilik.” Akan ada yang kata: “Naiklah ke gunung.” Ada yang akan cadang: “Pergilah ke pantai.” Dan macam-macam. Namun ketenangan bukanlah seperti duit, kita ambil, guna, habis. Kita perlukan ketenangan sentiasa. Untuk menyelamatkan kita dari kegelisahan, dari keresahan. Kita bukan nak ‘guna’ ketenangan atau ‘makan’ ketenangan. Kita mahu ketenangan itu menjadi sebahagian daripada kita.

Jadi jawapan ringkas daripada saya ialah, “Pergilah kepada Tuan Punya Ketenangan.”

Yakni Allah SWT.

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” Surah Ar-Ra’d ayat 28.

Ulasan Asy-Syahid Syed Qutb Di Dalam Tafsir Fi Zilal Al-Quran

Asy-Syahid Syed Qutb menulis:

“Ayat yang berikut melukiskan gambaran hati orang-orang yang beriman yang amat halus, yang sentiasa berada di dalam suasana tenteram, mesra, senyum manis dan damai:

                ‘Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka tenteram kerana mengingati Allah.’

                Yakni mereka merasa tenteram kerana hubungan mereka yang rapat dengan Allah, merasa mesra berada di samping-Nya, dan merasa aman berada di bawah lindunganNya. Mereka merasa tenteram dari kegelisahan, keseorangan dan kebingungan di jalan kerana mereka memahami hikmah Allah meciptakan mereka, hikmah bermulanya hidup di dunia dan berakhirnya di akhirat. Mereka merasa aman tenteram dengan perlindungan Allah dari segala pencerobohan, segala kemudaratan dan segala kejahatan kecuali apa yang dikehendaki Allah, serta mereka bersikap redha menerima ujian Allah dan bersabar dalam menghadapi kesusahan. Mereka merasa tentera dengan rahmat Allah yang mengurniakan hidayah, rezeki dan perlindungan di dunia dan akhirat.

                ‘Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.’

                Ketenteraman dengan mengingati Allah yang wujud di dalam hati orang-orang yang beriman itu merupakan satu hakikat yang mendalam, yang diketahui oleh mereka yang menikmati kemanisan iman di dalam hati mereka dan membuat mereka sentiasa berhubung dengan Allah.”

 

Tenang Dinaungi Tuhan Pemilik Alam

Bagi mereka yang beriman kepada Allah SWT, kita beriman bahawa Allah adalah Tuhan kepada sekalian alam. Segala apa yang berada di dalam alam semesta ini, berada dalam kuasa dan pengetahuan Allah SWT. Kerana itu di dalam Al-Quran sering diulang ayat berikut:

“Sesungguhnya Allah SWT berkuasa atas segala sesuatu.”  Ayat ini diulang terlalu banyak. Ianya wujud pada Surah Al-Baqarah ayat 20, Surah Ali-Imran ayat 165, Surah Al-Maidah ayat 17 dan banyak lagi.

Apabila kita menjadi seorang yang beriman kepada Allah SWT, kita tahu kita berada di bawah naunganNya. Berada di dalam perlindunganNya. Dia yang selama ini memberikan rezeki kepada kita semenjak kita berada dalam rahim. Dia yang telah menurunkan Rasul dan menyampaikan peringatan-peringatan kepada kita agar berada di atas jalan yang lurus. Dan kepada Dia semua akan dikembalikan.

Jika kita telaah Al-Quran, Allah SWT telah memberikan kepada hamba-hambaNya pelbagai janji. Dan janji bukan sekadar janji, di dalam Al-Quran juga terdapat kisah orang-orang yang telah menang dengan mempercayai janji-janji tersebut, juga mereka yang telah tewas kerana mengabaikan atau tidak mempercayai janji-janji itu.

Kita sebagai orang yang terkemudian, membaca Al-Quran dan membuat pilihan, dan untuk saya sudah pastinya saya memilih untuk mencontohi orang-orang yang menang. Menang di akhirat terutamanya. Jalan apa yang mereka ambil? Itulah dia jalan mempercayai Allah SWT.

Maka dengan mengingati Allah SWT, hati orang-orang beriman jadi tenteram.

Mereka rasa dijagai, dilindungi.

 

Apakah Akan Langsung Tidak Merasa Gundah Dan Gelisah?

Sebagai manusia yang mempunyai perasan, dan menghadapi situasi turun naik, sudah pastilah orang yang beriman pun akan diuji dengan kesedihan, kegundahan, kegelisahan. Rasa tersepit dan sukar. Dan kadangkala di ambang ketidak percayaan.

Pun begitu, jika keimanannya benar, maka ketenangan akan merasuknya semula. Memimpinnya untuk kembali tenang. Kerana akhirnya sangka baik kepada Allah SWT akan membawanya kepada bersabar, kepada untuk menjadi lebih kental. Sebarang cabaran, ujian, bencana, musibah, halangan yang mendatang akan dihadapinya dengan memahami bahawa Allah SWT itu tidak akan sesekali saja-saja menurunkan semua itu.

Pasti ada hikmahNya!

Kita telah menelaah ayat 214 Surah Al-Baqarah. Kita sudah melihat betapa Rasul dan orang-orang yang bersamanya pun ada masa tersepit hingga terpaksa bertanya bilakah akan sampainya pertolongan Allah SWT.

Namun Allah takkan membiarkan hamba-hambaNya begitu sahaja. Kita kembali memerhatikan ayat tersebut:

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.” Surah Al-Baqarah ayat 214.

Pertolongan Allah amat dekat!

Maka apabila hati-hati yang beriman ini kembali menyedari hakikat ini, mereka kembali tenang dan kuat. Kembali waras dan bersemangat untuk menempuh ujian.

Allah tidak meninggalkan mereka. Ini hanya ujian sahaja. Maka hendaklah ujian itu dilalui dengan kepercayaan yang tinggi. Bantuan Allah pasti akan tiba.

 

Malang Bagi Mereka Yang Tidak Mempunyai Hubungan Dengan Allah SWT

Orang yang tidak dapat melihat bahawa Allah SWT ialah sumber ketenangan yang paling utuh, adalah orang-orang yang malang. Dan mereka perlu dibantu untuk menyedari akan hakikat ini.

Tidak sedikit kita membaca kisah-kisah stress, orang-orang yang tertekan dengan kehidupan. Ramai yang akhirnya melakukan perkara-perkara bodoh untuk mencari ketenangan. Ada pula yang bertindak membunuh diri semata-mata untuk bebas dari tekanan.

Ada yang mendaki bukit mencari ketenangan, tetapi bukit takkan mampu dibawa bersamanya selepas itu. Ada yang ke pantai mencari ketenangan, tetapi pantai tak dapat dibawa pulang selepas itu. Ada yang pergi ke hotel mewah, kedai makan mewah, namun semua itu tidak dapat dibawa bersama sepanjang masa. Duit pula banyak dikeluarkan. Silap haribulan, tekanan bertambah!

Namun mendapatkan ketenangan daripada Allah SWT, tidak memerlukan bayaran. Tidak memerlukan perjalanan jauh. Dia sentiasa dekat dengan kita. Yang kita perlukan hanyalah kesedaran. Seterusnya berusaha untuk menjadi hamba yang patuh dan taat.

Allah ialah pemilik ketenangan. Kepada Dia kita meminta. Allah jugalah pemilik ujian, cabaran, tekanan. Kepada Dia kita meminta penyelesaiannya.

Asy-Syahid Syed Qutb mengulas:

“Tiada yang lebih malang di muka bumi dari orang-orang yang dinafikan dari nikmat ketenteraman melalui hubungan mesra dengan Allah. Tiada yang lebih derita dan celaka dari orang-orang yang hidup terputus hubungan di bumi ini dengan segala sesuatu yang wujud di sekelilingnya di alam buana ini. Kerana terputus dari tali keimanan yang kukuh yang menghubungkannya dengan segala sesuatu yang wujud di sekelilingnya, yang menghubungkan dengan Allah Pencipta Alam Buana ini. Tiada yang lebih derita dan celaka dari orang yang hidup yang tidak mengetahui mengapa dia datang ke dunia? Mengapa dia akan hilang(mati)? Mengapa dia mengalami berbagai-bagai penderitaan di dunia ini? Tiada yang lebih malang dan lebih celaka dari orang yang berjalan di bumi ini dan merasa takut kepada segala sesuatu akibat kerana tidak merasa adanya hubungan yang halus di antaranya dengan segala sesuatu di alam buana ini. Tiada yang lebih malang dan derita dari orang yang berjalan seorang diri dan sesat di padang belantara, di mana ia terpaksa berusaha dan berjuang seorang diri tanpa sebarang penolong, penunjuk jalan dan pembantu.

                Di sana ada detik-detik hidup yang tidak dapat dihadapi oleh seseorang melainkan apabila dia bergantung kepada Allah dan yakin kepada perlindunganNya, biarpun sebesar mana dia mempunyai kekuatan, ketabahan dan ketahanan. Di dalam hidup ini terdapat detik-detik yang dapat menghapuskan segala kekuatan dan ketabahan itu dan tiada siapa yang dapat menghadapinya kecuali orang-orang yang punya keimanan dan keyakinan teguh kepada Allah.”

Penutup: Hubungan Dengan Allah SWT Menjadikan Kita Ajaib

Rasulullah SAW bersabda:

“Ajaibnya urusan orang yang beriman, sesungguhnya setiap urusannya adalah baik-baik belaka. Hal itu tidak akan didapati melainkan daripada orang mukmin sahaja. Diberikan anugerah dia bersyukur, maka anugerah itu menjadi baik buatnya(tidak buat dia takabbur, bongkak dan riya’). Ditimpakan ke atasnya musibah dia bersabar, maka musibah itu menjadi baik buatnya(tidak jadi tertekan, putus asa, kecewa dan sebagainya).” Hadith riwayat Muslim.

Ketenangan dan kententeraman yang terhasil daripada kita mengingati Allah SWT, adalah berpunca dari hubungan yang rapat kita denganNya. Kerapatan hubungan itu pula datang daripada keimanan kita kepadaNya. Kita percaya kepadaNya, lantas menolak kita menjadi hambaNya yang taat. Melaksanakan perintahNya. Menjauhi laranganNya. Seterusnya menjadikan kita ini berbeza dengan mereka yang tidak mendekatiNya. Di sana bermulalah hubungan erat kita denganNya.

Hubungan erat itu menjadikan kita ajaib.

Bukanlah kita tidak teruji. Namun bila teruji, kita bersangka baik kepada Allah SWT. Kita bersabar. Mata kita tidak tertutup dari melihat nikmat-nikmat yang masih ada, segala anugerah yang telah diberikan selama ini. Justeru kita kekal positif. Walaupun mungkin sebagai manusia biasa, ada terselit rasa duka bila teruji. Tetapi rasa duka itu akan terubat dengan keimanan tadi.

Perhatikanlah sahabat-sahabat Rasulullah SAW. Teruji dan ujian menjadikan iman mereka bertambah.

“Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab(seramai 10,000 orang sedang tentera Muslimin hanya seramai 3000 orang), berkatalah mereka: Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya. Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.” Surah Al-Ahzab ayat 22.

Bukankah itu satu keajaiban? Hati mereka dipujuk dengan keimanan, lantas menjadikan mereka waras dalam berhadapan dengan cabaran. Seterusnya mampu merangka strategi dan mencapai kemenangan. Akhirnya pakatan Al-Ahzab cerai berai di tangan kaum Muslim dalam peperangan Khandaq.

Indahnya berhubungan dengan Allah SWT. Kita juga boleh begitu sebenarnya.

Muhasabah!

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Hilal Asyraf)

 

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan