Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Tenang Bila Tiada, Syukur Bila Ada

Gambar Hiasan

 

Mengharungi hidup di dunia, terlalu banyak impian dan keinginan yang ingin kita gapai. Tidak kiralah, ianya berbentuk harta benda mahupun tidak. Malangnya, bukan kesemua mampu kita raih, kerana Tuhan lebih tahu apa yang kita perlukan. Justeru, ada manusia, apabila dia tidak mendapat apa yang diingini, kekecewaan menguasai diri, sehingga kadangkala mengundang rasa hasad dan iri hati.

 

Realiti : Nafsu Tidak Akan Pernah Puas

“Seandainya anak Adam diberi satu lembah yang penuh emas nescaya dia ingin lembah yang kedua, dan jika diberikan kepadanya dua lembah yang berisi emas, nescaya dia akan mencari lembah yang ketiga. Tidak akan puas perut anak adam kecuali disumbat dengan tanah, dan Allah Maha menerima taubat orang yang mahu bertaubat.” (Riwayat Bukhari)

Nah, Rasulullah SAW sendiri sudah nyatakan, jika kita diberi satu lembah yang dipenuhi emas sekalipun, ianya tidak akan mampu memuaskan hawa nafsu. Kita bagaimana? Ada manusia, apabila melihat orang lain memiliki rumah besar, dia juga inginkan sebegitu. Orang lain punya kereta lebih hebat, cantik dan mewah, dia juga mahukan benda yang sama.

Akhirnya, apabila Tuhan tidak mengizinkan untuk memperoleh apa yang dihajati itu, hati akan mula sakit. Sakit dalam erti kata lain, iri hati dan dengki dengan kemewahan orang lain. Sedang apa yang sudah ada padanya itu sudah cukup untuk keperluan hidupnya.

Natijahnya adalah kepada diri sendiri. Tidak tenang dan hilang sifat bersyukur dengan nikmat yang dimiliki.

 

Solusi : Pandanglah Kesusahan Orang Lain

Benar, kesenangan dan kekayaan harta adalah fitrah yang diingini setiap manusia. Namun begitu, apabila Allah SWT tidak memberi kesenangan sepertimana orang lain rasai, pasti ada hikmah di sebaliknya.

Allah SWT ada berfirman,

“Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia berkata: “Tuhanku telah memuliakanku”. Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezkinya maka dia berkata: “Tuhanku menghinakanku”. (Al-Fajr: 15-16)

Sungguh, hati kita benar-benar mudah berbolak balik. Seperti firman Allah SWT di atas, jelas menunjukkan sikap manusia itu sendiri yang terlalu cepat menyalahkan Allah SWT apabila rezekinya terbatas. Oleh itu, untuk mengelak sikap sebegitu, cubalah lihat insan yang lebih memerlukan berbanding diri kita.

Mungkin hari ini kita menginginkan rumah yang cantik dan besar, tetapi pandanglah kepada keluarga yang berhujan, panas di bawah bumbung jambatan. Makannya pula dicatu, atau boleh jadi tidak makan berhari-hari.

Jika kita berasa cemburu melihat orang lain memakai kenderaan mewah, dan kita hanya ada kereta kecil dan sederhana, cubalah untuk melihat orang lain yang cuma mampu berbasikal mahupun berjalan kaki. Disaat kita mampu untuk berlindung daripada hujan dan panas untuk ke sana sini, mereka pula sebaliknya.

 

Penutup :  Bersyukurlah Dengan Apa Yang Ada

Lihatlah pada diri kita sendiri. Bukankah apa yang Tuhan telah berikan sekarang ini, sudah cukup untuk kita meneruskan kehidupan kita. Walaupun mungkin dalam keadaan sedikit sukar mahupun sederhana. Tetapi, barangkali lebih baik berbanding orang lain.

Seorang mukmin, setiap nikmat yang Allah SWT berikan kepadanya akan dirasakan cukup dan baik untuknya. Apabila Allah uji dengan sedikit kesusahan, keadaan tidak seperti orang lain, dia tetap bersabar dan tenang.

Sabda Rasulullah SAW ;

“Sungguh mengagumkan perkara seorang mukmin. Seluruh perkara adalah kebaikan baginya. Yang demikian itu tidaklah dimiliki oleh seorangpun kecuali seorang mukmin. Jika mendapat nikmat, dia bersyukur, maka yg demikian itu baik baginya. Dan jika dia ditimpa kemudaratan/kesusahan, dia bersabar, maka yang demikian itu baik baginya.”(HR. Muslim)

Pandanglah selalu berapa banyak nikmat yang Allah SWT telah berikan kepada kita.

Bandingkan pula dengan kesusahan, kepayahan, keperitan hidup manusia lain yang ada di sekeliling kita.

Bersyukurlah dengan apa yang Allah SWT kurniakan.

Bila kita memiliki, kita gembira dan bersyukur.

Bila kita tidak dapat apa yang dihajati, jiwa tetap tenang dan sabar setiap masa.

Jadilah mukmin seperti itu!

(Sumber: LangitIlahi.com oleh Asyraf Alpandi)

Komen


Berita Berkaitan