Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Teliti permohonan rakyat secara bijaksana

Radin Malleh bersama UPPM, ahli-ahli PBS Melalap di majlis itu.
Radin Malleh bersama UPPM, ahli-ahli PBS Melalap di majlis itu.

TENOM  – Unit Pemimpin Pembangunan  Masyarakat (UPPM) sebagai salah satu jentera kerajaan di peringkat akar umbi perlu proaktif, prihatin, berhemah dan mesra rakyat bagi menarik sokongan rakyat terhadap kerajaan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Radin Malleh berkata, dalam masa sama, UPMM terutamanya di kawasan Melalap harus meningkatkan mutu perkhidmatan mereka demi kejayaan pembangunan yang dirancang kerajaan dan kesejahteraan rakyat di daerah berkenaan.

“Selain membantu melaksanakan tugas-tugas wakil-wakil rakyat di daerah berkenaan, mereka juga perlu memeriksa dengan teliti setiap permohonan yang dikemukakan oleh rakyat bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja menerima sesuatu bantuan kerajaan itu,” katanya ketika berucap dalam majlis santai dan Hari Keluarga Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Melalap, di Pusat Rekreasi Fatt Choi, Tenom, di sini hari ini.

Radin yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, pemeriksaan yang teliti terhadap semua permohonan itu akan dapat menghindarkan wujudnya prasangka buruk di kalangan rakyat terhadap peranan dan fungsi UPPM itu nanti.

Katanya, UPPM sebagai jentera kerajaan harus sentiasa turun padang untuk menangani isu-isu yang sering mendapat perhatian rakyat seperti geran komunal, Bantuan Rakyat 1Malaysia dan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Jelas beliau, keupayaan dan komitmen ahli UPPM untuk memberi penjelasan mengenai isu-isu dan dasar-dasar kerajaan itu juga dapat menarik sokongan rakyat terhadap kerajaan.

“Kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman memperkenalkan geran komunal itu untuk menyelesaikan masalah pemilikan tanah hak anak negeri dalam kalangan rakyat di kawasan luar bandar serta untuk menangani masalah penjualan tanah anak negeri yang semakin berleluasa.

“Pada dasarnya geran komunal itu sama dengan geran hak anak negeri, hanya saiznya lebih besar kerana nama-nama pemohon tanah itu dibuat secara berkelompok, berbanding dengan tanah anak negeri,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, geran komunal akan memberi peluang kepada rakyat yang tidak memiliki tanah untuk mengusahakannya seperti geran hak anak negeri itu.

Kerajaan negeri telah melaksanakan geran komunal pada Mei 2010 mengikut pindaan peruntukan mengikut Seksyen 76 Ordinan Tanah Sabah pada tahun 2009.

Tambahnya lagi, kerajaan Barisan Nasional negeri yakin tindakan itu dapat  melindungi  kepentingan  generasi anak negeri akan datang.

Beliau menambah melalui geran tanah komunal itu juga, kerajaan negeri dapat melaksanakan pembangunan tanah dengan berkesan di kawasan-kawasan luar bandar seperti pembinaan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) kelapa sawit dan getah yang berjaya meningkatkan pendapatan dan membasmi kemiskinan rakyat di luar bandar. – SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan