Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Telaga tiub selesai masalah bekalan air 2 kampung di Kiulu

MENTERI Sains, Inovasi dan Teknologi, Datuk Madius Tangau hadir pada Majlis Perasmian Sistem Telaga Tiub Kampung Bungalio dan Kampung Kotunuan Baru, Tuaran, hari ini. – Foto Recqueal Raimi

 

TUARAN: Masalah bekalan air bersih dialami kira-kira 500 penduduk Kampung Bungalio dan Kotunuan Baru, Kiulu, di sini, ketika musim kemarau, kini berakhir.

Ini berikutan siapnya sistem telaga tiub yang mampu membekalkan air berterusan kepada penduduk di kawasan berbukit itu.

Penyediaan kemudahan itu adalah inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) menerusi program STI Outreach (Merakyatkan Inovasi) kementerian berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bungalio dan Kotunuan Baru, Suffian Kundu, berkata penyediaan kemudahan itu mengakhiri penantian penduduk untuk menikmati bekalan air bersih sejak sekian lama.

Katanya, kedudukan perkampungan berkenaan di kawasan bukit menyebabkan penduduk sering berdepan masalah bekalan air jika musim kemarau.

Lebih teruk, air di situ akan kotor jika hujan berterusan akibat pencemaran kelodak di empangan sistem air graviti mereka.

“Kami bersyukur apabila mendapat bantuan pembinaan sistem telaga tiub ini. Setakat ini, kira-kira 100 rumah menerima manfaat daripada kemudahan ini,” katanya ditemui pada Majlis Perasmian Sistem Telaga Tiub Kampung Bungalio dan Kampung Kotunuan Baru, di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Datuk Madius Tangau. Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.

Suffian berkata, bagi memastikan kemudahan baharu itu berfungsi dengan baik sepanjang masa, pihaknya akan menubuhkan jawatankuasa penyelenggaraan.

Sementara itu, Madius berkata, pembinaan sistem telaga tiub itu dimulakan September tahun lalu dan siap pada Disember lalu, membabitkan kos kira-kira RM200,000, termasuk penggerudian telaga tiub sedalam 113 meter.

“Sistem ini disalurkan terus ke rumah ibadat, balai raya, sekolah dan pusat internet desa. Kita harap dapat melaksanakan sistem ini dalam skala lebih besar untuk sektor pertanian,” katanya. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan