Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Teknologi pembinaan jalan raya berasaskan getah bakal diperkenalkan

KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bercadang untuk memperkenalkan teknologi pembinaan jalan raya berasaskan getah di negeri ini.

Menterinya Ewon Benedict berkata, teknologi yang telahpun diaplikasikan di negara-negara lain termasuk Thailand itu amat sesuai digunakan untuk pembinaan jalan raya luar bandar.

“Kita boleh memperkenalkan dan membangunkan teknologi ini dalam pembinaan jalan raya di Sabah kerana saya tahu ia adalah antara kaedah yang boleh menyelesaikan keperluan membina jalan raya khususnya jalan raya di luar bandar.

“Selain itu ia boleh meningkatkan harga getah kerana kita mencipta satu teknologi membina jalan raya menggunakan getah. Ini adalah keperluan domestik dalam industri pembinaan jalan raya,” katanya ketika berucap pada majlis Kesyukuran di SK Kiau 1, di sini, baru-baru ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, kementeriannya juga telah merangka pelbagai program yang akan dilaksanakan di kawasan luar bandar, termasuk membangunkan industri pelancongan di Kadamaian.

“Banyak program di kementerian yang boleh kita laksanakan di kampung-kampung seluruh Sabah. Saya juga bersedia menerima sekiranya ada input atau cadangan pelbagai pihak termasuk masyarakat akar umbi yang menarik dan boleh dilaksanakan di kawasan mereka.

“Sebaik-baiknya cadangan yang dikemukakan itu boleh memberi manfaat jangka masa panjang sama ada dari segi pentadbiran, sistem atau penyelesaian sesuatu masalah agar kita dapat bersaing dengan masyarakat di peringkat antarabangsa,” katanya.

Mengenai program turun padang, Ewon berkata program itu akan dilaksanakan secara berterusan dan pada Khamis ini, beliau akan melancarkan pejabat Pusat Khidmat Adun di Kampung Piasau Kota Belud.

“Pemilihan di kawasan luar pekan sesuai dengan sanubari kita yang selalu berada di luar pekan dan menyesuaikan suasana kampung. Maka wajar bagi kita memilih salah satu kampung di Kadamaian sebagai satu pusat pentadbiran,” katanya.

Mengenai pembaikan jalan-jalan kampung dan kemudahan lain di kawasan luar bandar, Ewon berkata pelaksanaan adalah berdasarkan kepada keutamaan dan keperluan penduduk kampung.

“Bagaimanapun, jalan-jalan besar di kawasan luar bandar adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kita boleh berbincang dengan kementerian berkaitan untuk memperbaiki jalan berkenaan, tapi jalan melibatkan jalan kampung masuk kawasan rumah-rumah adalah di bawah bidang kuasa KPLB,” katanya.

Ewon turut meminta rakyat Sabah khususnya di DUN Kadamaiqn supaya mengetepikan perbezaan politik dan sama-sama menumpukan kepada membangunkan kawasan itu.

Turut hadir Ahli Parlimen Kota Belud Isnarasiah Munirah Majilis, Setiausaha Tetap Kerajaan Tempatan dan Perumahan selaku Pengerusi Persatuan Alumni SK Kiau Datuk Ginun Yangus, Timbalan Pengerusi Persatuan Alumni SK Kiau merangkap Pengerusi Penganjur Majus Munsing dan Guru Besar SK Kiau Jerome Goromon.

Ewon menerima cenderahati daripada Stephen Sindeh.

Komen


Berita Berkaitan