Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,786

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Tebusan Malaysia Rayu Bantuan

11:40am 26/09/2016 Pak Roshan 36022 views Isu Semasa,Mutakhir

mohd-ridzuan

PETALING JAYA – Satu mesej bantuan kecemasan telah dihantar oleh seorang tebusan Malaysia yang ditahan oleh kumpulan Abu Sayyaf, merayu pertolongan kerana beliau kelaparan dan telah dipukul.

“Kami sudah tidak tahan lagi. Kami dalam kesakitan. Semua kami sakit. Badan kami luka-luka. Kami lemah. Tiada makanan untuk dimakan. Malah, kami dipukul. Ada orang mahu menembak kami. Tolong bantu kami.”

Itulah kata-kata Mohd Ridzuan Ismail, salah seorang daripada lima rakyat Malaysia yang diculik oleh kumpulan bersenjata Abu Sayyaf dari perairan Lahad Datu di pantai timur Sabah, 18 Julai lalu.

Pada Rabu, jurucakap Abu Sayyaf, Abu Rami telah menghubungi The Star dari pulau Jolo, selatan Filipina, dan meminta Mohd Ridzuan, 32, bercakap di telefon bagi membolehkan beliau menghantar mesej kepada kerajaan Malaysia.

“Saya adalah tebusan dari Malaysia. Nama saya Mohd Ridzuan Ismail. Dan saya meminta bantuan daripada kerajaan dan majikan saya untuk menyelamatkan kami secepat mungkin,” kata kelasi kapal itu dalam bahasa Melayu.

Perbualan berlangsung selama lapan minit.

rahim

ABDUL RAHIM SUMMAS DI LOKASI YANG TIDAK DIDEDAHKAN DI PULAU JOLO.

“Kami menderita di pulau Jolo. Kami merayu kepada kerajaan Malaysia dan majikan kami supaya berunding tentang pembebasan kami, kami mahu pulang ke rumah secepat mungkin,” katanya dalam nada sedih.

Terdapat kemungkinan Mohd Ridzuan mungkin akan mati di tangan Abu Sayyaf yang telah memenggal kepala tebusan pertama Malaysia, Bernard Then, November tahun lepas.

Mohd Ridzuan, yang berasal dari Pahang, diculik bersama empat rakannya dari Sabah, Tayudin Anjut, 45, Abd Rahim Summas, 62, Mohd Zumadil Rahim, 23, dan Fandy Bakran, 26.

Kapal tunda mereka yang kosong telah ditemui di perairan Dent Haven di kawasan Tambisan, Lahad Datu, berhampiran sempadan laut di selatan Filipina.

Mohd Ridzuan berkata, mereka sedang ditahan dalam hutan.

“Hanya kadang-kadang kami diberi makan. Untuk minum, kami terpaksa mengambil air parit. Jika ada makanan, ia hanyalah nasi untuk alas perut,” katanya.

Ditanya sama ada mereka telah dipukul, Mohd Ridzuan berkata mereka telah dipukul dengan senapang.

“Kami takut. Ini bukan tempat kami. Mereka pukul kami dan beritahu kami bahawa mereka boleh menembak kami.”

Pada waktu malam, beliau berkata tawanan akan diikat.

“Kami tidur di atas tanah. Apabila hujan, kami akan terendam dalam air,” katanya.

Ditanya berapa ramai anggota lelaki bersenjata yang mengawasi mereka, Mohd Ridzuan berkata bilangan mereka ‘terlalu banyak, terlalu banyak untuk dikira’.

Pada mulanya, Mohd Ridzuan berkata orang yang menculiknya ada menghubungi majikannya tetapi akhir-akhir ini pemilik kapal tersebut telah berhenti menjawab panggilan.

“Tolong hubungi bos dan keluarga saya supaya mereka dapat membantu kami pulang ke rumah secepat mungkin.Sudah dua bulan berlalu. Kami tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan,” katanya.

Sehari sebelum Mohd Ridzuan muncul merayu bantuan, Abu Rami dalam satu temu bual telefon berkata penculik telah meminta 100 juta peso (RM8.5 juta) untuk membebaskan rakyat Malaysia yang ditahan.

Tebusan itu, katanya, telah ditahan di Luuk, kawasan di pulau Jolo oleh seorang pemimpin Abu Sayyaf yang dikenali sebagai Abu Khalif.

Beliau berkata tebusan telah dipisahkan kepada tiga kumpulan.

“Saya diberitahu bahawa tebusan paling tua sedang sakit,” kata jurucakap itu yang memperkenalkan kumpulannya sebagai Al Harakatul Al Islamiyyah.

Beliau mungkin merujuk kepada Abd Rahim yang berusia 62 tahun.

Ditanya sama ada pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari boleh berunding untuk melepaskan mangsa, Abu Rami berkata: “Hanya jika dia mempunyai 100 juta peso. Jika tidak, maka tidak.”

Beliau juga mendakwa tiada tentera yang muncul di lokasi di mana tebusan itu ditahan, walaupun dengan adanya laporan bahawa tentera Filipina akan melancarkan perang habis-habisan terhadap Abu Sayyaf.

“Mengapa mereka tidak mahu melawan kami?,” beliau membuat cabaran.

Pada Ahad, Abu Rami menghantar dua keping gambar tebusan kepada The Star.

Beliau tidak dapat menghantar gambar-gambar itu lebih awal kerana masalah sambungan Internet di bandar Jolo.

Pihak berkuasa Malaysia dipercayai sedang bekerjasama dengan rakan-rakan mereka di Filipina mereka untuk membebaskan tawanan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun enggan membincangkan tentang rundingan untuk membebaskan tebusan, hanya mengatakan bahawa mereka ‘masih menunggu’.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata beliau akan mengarahkan polis untuk meningkatkan komunikasi dan rundingan dengan penculik bagi membebaskan mangsa.

Keluarga tebusan telah menjauhkan diri daripada media. Satu-satunya kenyataan yang telah dikeluarkan setakat ini adalah mereka berdoa agar orang tersayang dapat pulang dengan selamat. – mStar Online/The Star

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan