Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Tawi-Tawi Tawar Potensi Besar Perniagaan

tawitawi

KOTA KINABALU: Bertentangan tanggapan bahawa selatan Filipina tidak selamat untuk dikunjungi rakyat Malaysia, wilayah kepulauan Tawi-Tawi membuktikan sebaliknya.

Pengerusi Majlis Perniagaan Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA) Datuk Roselan Johar Mohamed berkata ini dibuktikan oleh 12 rakyat Malaysia, yang kebanyakannya dari Sabah, telah menyertai Persidangan Perniagaan Antarabangsa Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) pertama di Bongao, Tawi-Tawi pada 17 hingga 18 Jun.

Beliau berkata mereka mendapati rantau ini berpotensi besar untuk perniagaan dan pelaburan, daripada pertanian hinggalah ke eko-pelancongan.

“Melawat dan melabur dalam mana-mana bahagian ARMM mungkin dilihat berisiko kepada mereka yang tidak pernah ke mana-mana wilayah berkenaan. Tetapi keadaan menjalankan perniagaan di sana sudah semakin baik.

“Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, rantau ini menerima 1.62 bilion peso dalam pelaburan, yang melebihi seluruh pelaburan tahun lepas sebanyak 1.46 bilion peso,” katanya kepada Bernama di sini Isnin.

Beliau berkata Tawi-Tawi adalah antara pengeluar terbesar rumpai laut di dunia.

Roselan berkata Majlis Perniagaan BIMP-EAGA akan melaksanakan zon ekonomi yang dikenali sebagai Zon Ekonomi 3T yang melibatkan tiga kawasan iaitu Tawau (Malaysia), Tawi-Tawi (Filipina) dan Tarakan (Indonesia).

Beliau berkata majlis itu berharap untuk mewujudkan pusat kutipan dan pengedaran di Tawau bagi rumpai laut dan hasil lain.

“Wilayah itu sedang mencari pelabur untuk menubuhkan kilang pengeluaran rumpai laut dalam Tawi-Tawi sama ada dalam bentuk produk farmaseutikal dan kesihatan, barang makanan atau apa-apa kegunaan lain,” katanya.

Beliau berkata kawasan itu juga berpotensi dalam pengeluaran susu getah, kelapa dan bijih timah.

Roselan berkata wilayah kepulauan itu mencari pelabur untuk membekalkan lima megawatt elektrik atau sel solar untuk membekalkan kuasa kepada kira-kira 380,000 daripada penduduk di wilayah itu.

Selain daripada elektrik, beliau berkata, Tawi-Tawi juga mengalu-alukan rakan kongsi dalam menaik taraf bekalan air.

Beliau berkata wilayah itu juga kaya dengan nikel.

“Gabenor Tawi-Tawi Nurbert Sahali berminat mencari pelabur untuk mendirikan sebuah kilang memproses nikel kepada gred yang boleh dieksport dan nilai tambah,” katanya.

Dari segi pelancongan, beliau berkata, semua 307 pulau dalam Tawi-Tawi boleh menjadi destinasi percutian dan berharap MASwings, unit Malaysia Airlines, akan bersedia untuk ke Bongao dari Tawau.

Sementara itu, Roselan berkata, tentera laut Filipina sedang meninjau untuk membeli bot khas untuk memintas lanun.

“Ini benar-benar memberitahu kita bahawa kerajaan Filipina sangat serius dalam memerangi lanun dan menghapuskan penculikan untuk wang tebusan,” katanya.- Bernama

Komen


Berita Berkaitan