Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,634

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Tawfiq Ingatkan Mangsa Kebakaran Di Tawau Bina Semula Rumah Ikut Piawaian MPT

tawfiq

TAWAU : Mangsa kebakaran di Tanah Merah Batu 2 Jalan Apas dan Blok 10 Kampung Titingan Darat, di sini, diingatkan supaya mengikuti piawaian ditetapkan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) jika membina semula rumah mereka.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata mereka perlu mengikuti piawaian MPT termasuk agensi lain bagi memastikan aspek keselamatan lebih terjamin selain mencegah kebakaran daripada berulang.

Katanya penduduk di kawasan itu perlu mengambil iktibar kejadian kebakaran di kedua-dua kawasan terbabit yang telah memusnahkan sebanyak 183 rumah dan mengakibatkan lebih 1,000 orang kehilangan tempat tinggal.

“Mangsa kebakaran yang ingin membina semula rumah perlu mengikut piawaian MPT dalam aspek keselamatan,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan kepada mangsa kebakaran itu, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tawfiq yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak yang tambil memberikan bantuan untuk meringankan beban mangsa kebakaran.

Sementara itu, Presiden MPT Alijus Sipil mahu semua mangsa terlibat tidak membina rumah secara tergesa-gesa dan pihaknya akan memanggil semua pemilik tanah untuk berbincang mengenai hal tersebut.

“MPT akan menetapkan ukuran rumah yang ingin dibina. Bagaimanapun, mereka yang ingin membina rumah sendiri tidak akan disenaraikan untuk mendapatkan rumah transit yang dibina di kawasan tanah kerajaan untuk penempatan mereka,” katanya.

Pada majlis itu, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, yang diwakili Ketua Setiausaha Politiknya Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyampaikan sumbangan peribadi kepada mangsa kebakaran terbabit.

Selain itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menyumbangkan sebanyak 100 khemah untuk kegunaan mangsa yang disampaikan oleh Panglima 5 Briged Infanteri Malaysia, Brig Jen Datuk Mohd Anwar Rijaludin.

tawfiq1

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan