Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Tanjung Simpang Mengayau berpotensi jadi lokasi menyelam terkemuka

Spesies marin, Nudibranch antara yang banyak terdapat di perairan Tanjung Simpang Mengayau. - foto Alex Mairin
Spesies marin, Nudibranch antara yang banyak terdapat di perairan Tanjung Simpang Mengayau. – foto Alex Mairin

KUDAT – Bagi sesetengah penyelam, mereka memikirkan keadaan ombak berangin dan kencang di Tanjung Simpang Mengayau, dekat sini, sepanjang masa adalah tidak sesuai untuk aktiviti laut.

Persepsi itu sama sekali tidak benar memandangkan perairan Tanjung Simpang Mengayau sangat unik dan merupakan titik pertemuan Laut China Selatan dan Laut Sulu, amat sesuai untuk aktiviti menyelam skuba mahupun snorkel.

Baru-baru ini, krew SayangSabah berkesempatan menikmati pengalaman menyelam di Tanjung Simpang Mengayau, teruja dengan keindahan semulajadi dasar lautnya yang masih kaya dengan pelbagai hidupan marin.

Menariknya, para penyelam sendiri boleh merasai ketulenan air laut di Tanjung Simpang Mengayau yang nyata masih belum dicemari berbanding tempat-tempat lagi yang pernah dikunjungi sebelum ini.

Keindahan laut Tanjung Simpang Mengayau menjadi tarikan penyelam meneroka keunikannya. - foto Alex Mairin
Keindahan laut Tanjung Simpang Mengayau menjadi tarikan penyelam meneroka keunikannya. – foto Alex Mairin

Sebetulnya, itulah yang menjadi tarikan utama di Tanjung Simpang Mengayau kerana selain keindahan panorama dan pasir putihnya, ia berpotensi menjadi lokasi menyelam baharu di Sabah, cuma belum diketahui ramai memandangkan kurangnya promosi bagi aktiviti menyelam di situ.

Selain itu, hanya terdapat satu operator sahaja yang beroperasi di Tanjung Simpang Mengayau ketika ini dan ia juga merupakan antara faktor tempat itu masih tampak sunyi daripada aktiviti menyelam dan snorkel.

Dalam kunjung ke Tanjung Simpang Mengayau, krew SayangSabah turut Kesempatan menemui pengusaha A Borneo Tours&Travel yang juga Pengurus Operasinya, Raynesten Ng.

Beliau berkata, orang ramai berpendapat bahawa keadaan ombak kuat di Tanjung Simpang Mengayau adalah sepanjang masa, namun ia adalah mengikut musim dan dalam tempoh masa enam hingga lapan bulan, perairan di situ agak tenang dan paling sesuai untuk aktiviti menyelam atau snorkel.

Keaslian dan keunikan dasar laut Tanjung Simpang Mengayau mula menarik perhatian para penyelam ke situ. - foto Alex Mairin
Keaslian dan keunikan dasar laut Tanjung Simpang Mengayau mula menarik perhatian para penyelam ke situ. – foto Alex Mairin

“Ini adalah tempat baharu dan kita boleh melihat sendiri perbezaannya berbanding lokasi menyelam seperti Pulau Sipadan. Di sini, lebih banyak hidupan marin mikro. Kami mengatakan mikro kerana saiznya sangat kecil dan banyak terdapat di sekitarnya.

“Di situ juga terdapat banyak terumbu karang, beberapa spesies Nudibranch, barracuda, pari dan banyak lagi. Sekarang ini boleh dikatakan musim whale-shark. Seorang rakan saya pernah terlihat spesies ini semasa menyelam, beberapa hari lalu. Tapi ia memang jarang kelihatan,” katanya.

Tanjung Simpang Mengayau yang amat sinonim dengan gelaran Tip of Borneo, terletak kira-kira 40 kilometer dari daerah Kudat, merupakan salah satu destinasi pelancongan utama pelancong ke Sabah.

Antara spesies marin mikro yang menjadikan terumbu karang habitatnya. - foto Alex Mairin
Antara spesies marin mikro yang menjadikan terumbu karang habitatnya. – foto Alex Mairin

Raynesten memberitahu, pihaknya merupakan satu-satunya syarikat operator menyelam di Tanjung Simpang Mengayau dan mereka telah beroperasi selama setahun dengan meletakkan sasaran bagi menarik pasaran China.

“Selain aktiviti menyelam, kami juga menganjurkan kursus open-water, TAC dan IDRO iaitu kedua-duanya adalah program technical divers, di sini dan kami harapkan pasaran pelancong akan bertambah baik dari masa ke semasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya kini sedang menyusun kerangka peta menyelam dan sudah menemui kira-kira 10 hingga 16 kawasan menyelam yang berpotensi untuk diterokai.

Antara spesies marin mikro yang menjadikan terumbu karang habitatnya. - foto Alex Mairin
Antara spesies marin mikro yang menjadikan terumbu karang habitatnya. – foto Alex Mairin

Katanya, beberapa kawasan di daerah ini juga berpotensi dijadikan pusat menyelam selainTanjung Simpang Mengayau. Antaranya, Kampung Bawang Jamal, Pantai Kelambu dan Pulau Maliangin.

Jelas beliau lagi, langkah kerajaan negeri untuk mewartakan beberapa pulau kecil dalam projek Taman Marin Tun Mustapha merupakan usaha murni bagi melindungi habitat marin dan ekologi di kawasan tersebut daripada terus menjadi sasaran aktiviti pengemboman ikan.

Agak malang, katanya kerana masih terdengar aktiviti bom ikan yang dilakukan segelintir nelayan di pulau-pulau berkenaan dan perbuatan itu boleh mengakibatkan kemusnahan hidupan marin terutama terumbu karang yang merupakan habitat ikan.

Antara spesies marin mikro yang menjadikan terumbu karang habitatnya. - foto Alex Mairin
Terumbu karang masih banyak terdapat di dasar laut Tanjung Simpang Mengayau, namun berdepan ancaman aktiviti pengeboman ikan oleh segelintir nelayan. Justeru, usaha perlu dilakukan untuk memuliharanya. – foto Alex Mairin

“Jika tidak dibendung, kita khuatir ia akan merosakkan lebih banyak alam semulajadi dasar laut di perairan Tanjung Simpang Mengayau,” katanya.

Untuk itu, Raynesten berkata, pihanya telah menjalankan projek konservasi. Projek penanaman semula terumbu karang itu adalah bagi menggantikan terumbu karang yang lama mahupun musnah akibat aktiviti bom ikan. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

 

Komen


Berita Berkaitan