Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Tangga besi untuk ke sekolah

11:08am 28/10/2016 Pak Roshan 1354 views Global
GAMBAR yang tersebar Mei lalu menunjukkan murid sekolah menggunakan akar pokok untuk mendaki atau menuruni gunung itu.

GAMBAR yang tersebar Mei lalu menunjukkan murid sekolah menggunakan akar pokok untuk mendaki atau menuruni gunung itu.

BEIJING – Selepas bertahun-tahun gadai nyawa, penduduk sebuah kampung di China akhirnya boleh bernafas lega apabila tangga besi dibina untuk membolehkan anak mereka ulang-alik ke sekolah dengan lebih selamat.

Mei lalu, gambar yang menyayat hati tersebar, menunjukkan murid dengan yang paling muda berusia enam tahun, mendaki dan menuruni gunung dengan berpaut pada akar pokok dan batu untuk pergi dan balik sekolah.

Mereka tinggal di daerah Zhaojue di wilayah Sichuan yang terletak di puncak gunung setinggi 800 meter di barat China.

Sekolah mereka pula di kaki gunung.

Gambar sebelum ini menunjukkan kanak-kanak berkenaan berjalan menuruni gunung itu selama dua jam sebelum tiba di sekolah.

Mereka yang berusia antara enam dan 15 tahun membawa beg berat dengan ditemani tiga penduduk dewasa.

Kini, bahaya yang mereka hadapi mungkin berkurangan apabila tangga yang menggunakan 1,500 batang paip besi akan siap dipasang beberapa hari lagi.

Pemasangan tangga itu bermula Ogos lalu selepas pihak berkuasa tempatan mengeluarkan perbelanjaan sebanyak 1 juta yuan (RM614,000).

Kampung itu yang digelar ‘Kampung Cenuram’ oleh media China, terlalu jauh dipedalaman dan hanya 72 keluarga menetap di situ, kebanyakannya menyara kehidupan dengan menanam lada.

Kanak-kanak itu akan tinggal di sekolah selama dua minggu sebelum mendaki gunung berkenaan untuk pulang melawat keluarga mereka.

Setiap kali turun atau naik, ibu bapa akan bergilir-gilir menemani mereka.

Menurut pegawai tempatan, kira-kira lapan penduduk mati ketika mendaki atau menuruni gunung berkenaan.

Kerana keadaan begitu berbahaya, ada penduduk tidak menghantar anak mereka ke sekolah. – Agensi/HMetro


SEBAHAGIAN murid yang menggunakan tangga besi yang separuh siap untuk pergi dan pulang dari sekolah. - Agensi

SEBAHAGIAN murid yang menggunakan tangga besi yang separuh siap untuk pergi dan pulang dari sekolah. – Agensi

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan