Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,823

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Tambah Aset, Pertingkat Komitmen Anggota Perkukuh Keselamatan Di ESSCom

2:10pm 17/12/2015 Pak Roshan 62 views Mutakhir,Nasional

 

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang menambah aset bagi meningkatkan kawalan keselamatan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Selain aset, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pertambahan komitmen anggota penguatkuasa dan meningkatkan ‘omni presence’ di sepanjang 1,700 kilometer Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) penting bagi mempertahankan kedaulatan negara, khususnya di kawasan persisiran Sabah.

Antara aset yang ditambah termasuk radar yang lebih canggih dengan liputan lebih luas, helikopter tempur dan dron, katanya.

“Kesiapsiagaan tidak hanya boleh dibuat melalui retorik dan komitmen di atas kertas sahaja. Kita mesti memenuhi keperluan pemantauan dan kesiapsiagaan anggota penguatkuasa,” katanya pada sidang media mengenai ESSCom di sini Khamis.

Sebelum itu, beliau mempengerusikan mesyuarat peringkat tertinggi mengenai projek pembangunan serta perolehan bagi kegunaan ESSCom di ESSZone di Kementerian Dalam Negeri di sini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

ESSCom merupakan ‘ejen penguatkuasaan keselamatan’ bagi ESSZone merangkumi 10 daerah dan diwujudkan khusus bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur negeri itu ekoran insiden pencerobohan di Lahad Datu.

ESSZone meliputi kawasan sejauh 1,733.7 kilometer membabitkan daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Ahmad Zahid berkata ESSZone menerima ancaman berterusan daripada penceroboh yang menunggu masa sesuai untuk menerobos masuk.

Justeru, beliau berkata aspek penyelarasan dan kefahaman semua agensi penguatkuasaan yang terlibat, harus diberi penekanan supaya ruang kosong pencerobohan dapat ditutup sepenuhnya.

“Negara kuasa besar pernah gagal dalam menangkis taktik perang gerila, kita tidak harus terperangkap dalam kaedah yang dilakukan mereka,” katanya.

Ditanya mengenai kawalan keselamatan di ESSZone ketika ini, Ahmad Zahid berkata kawalan cukup baik dari segi semangat anggota.

“Dulu ESSCom diwujudkan bagi mendepani permasalahan (pencerobohan). Semua kemudahan dibuat dalam bentuk sementara. Oleh kerana itu, kita serius menyelesaikan masalah ini, keputusan dibuat agar bangunan dijadikan aset kekal,” katanya.

Ahmad Zahid dalam sidang media itu turut memperkenalkan Komander ESSCom baharu iaitu SAC Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid bagi menggantikan DCP Abdul Rashid Harun yang dinaikkan pangkat menjadi Pesuruhjaya Polis Sabah, berkuat kuasa 23 Dis.

Selain itu, Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu ESSCom menggantikan Ruji Ubi yang dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Negeri Sabah, berkuat kuasa 16 Dis.

Bari yang sebelum ini sebagai Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Kuala Lumpur berkata beliau akan menggalas tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan baik.

“Saya terpaksa belajar sebab ini adalah senario berbeza kerana saya bertugas di Kuala Lumpur dan bakal berkhidmat di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Noor Alam Khan berkata pelantikannya sebagai CEO baharu ESSCom adalah cabaran terbesar dalam kerjayanya yang sebelum ini bertugas sebagai Pengarah Jabatan Imigresen Sabah.

“Saya perlu masa sedikit untuk melihat dahulu apa bidang tugas yang dipertanggungjawabkan kepada saya dan saya akan cuba untuk melaksanakannya dengan sebaik mungkin,” katanya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan