Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

TAMBADAU SABAH VS PILIHAN KENINGAU, MALAM ESOK

KOTA KINABALU: Skuad Tambadau Sabah teruja untuk beraksi menentang pilihan Keningau di Stadium Keningau malam esok.

Pengurus pasukan Henry Saimpon berkata, ia adalah perlawanan amal tetapi mereka juga menjadikannya sebagai antara program persiapan pasukan sempena rehat panjang saingan Liga Premier.

Henry Saimpon. Gambar Fail SNT

“Ini adalah program persiapan pertama kami di luar daerah, jadi semua pemain teruja untuk beraksi di sana (Keningau) terutama empat pemain import kita iaitu Park Tae Su, Luka Milunovic, Luiz Carlos Junior dan Rodoljub Paunovic.

“Kami akan cuba memberi peluang semua pemain beraksi termasuklah barisan utama yang telah meletakkan Tambadau Sabah di kedudukan kedua dalam carta Liga Premier setakat ini. Kesemua empat pemain import kita juga akan beraksi,” kata Henry dalam kenyataannya pada Khamis.

Beliau percaya, perlawanan itu akan menjadi latihan berkualiti buat pasukan kerana pasukan Pilihan Keningau juga telah membuat persiapan untuk perlawanan ini.

(Depan dari kiri) Paunovic, Park dan Junior menjalani latihan. Gambar SNT/Ihsan Safa

Sambil itu, selain aksi skuad Tambadau Sabah, peminat bola sepak juga berpeluang menyaksikan perlawanan antara pasukan bekas pemain Sabah dan pasukan Pilihan Veteran Keningau.

“Sepak mula perlawanan antara pasukan bekas pemain Sabah dan Pilihan Veteran Keningau adalah pada jam 7.00 malam disusuli dengan perlawanan antara Tambadau Sabah dan Pilihan Keningau pada jam 8.00 malam.

“Sehubungan dengan itu, orang ramai terutamanya peminat bola sepak di Keningau dan sekitarnya dialu-alukan datang menyaksikan perlawanan membabitkan skuad Tambadau Sabah yang julung kali diadakan di Keningau musim ini berkenaan.

Luka Milunovic. Gambar SNT/Ihsan Safa

“Masuk adalah percuma tetapi oleh kerana ini adalah perlawanan amal bagi membantu bekas pemain Sabah dan Pedalaman Atas yang sakit iaitu Paulus Jimit dan Jelius Arurung, tabung akan diedarkan untuk diisi penonton secara sukarela.

“Oleh itu datanglah beramai-ramai menikmatikan perlawanan yang menjanjikan aksi sengit dan menarik sambil beramal menderma untuk membantu bekas pemain yang pernah mengharumkan nama negeri Sabah,” kata Henry.

Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) diketuai pemangku presidennya Datuk Peter Anthony dijadualkan melawat Paulus di kediamannya di Tambunan pada sebelah pagi sebelum membawa pasukan untuk perlawanan di Keningau.-SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan