Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Taman Kingfisher Fasa II sifar pecah rumah

Awang Sham (bersongkok) dan isteri bergambar bersama ahli Jawatankuasa Kingfisher II Management Sdn Bhd. Turut kelihatan ialah Datuk Frankie Liew (lima dari kiri).
Awang Sham (bersongkok) dan isteri bergambar bersama ahli Jawatankuasa Kingfisher II Management Sdn Bhd. Turut kelihatan ialah Datuk Frankie Liew (lima dari kiri).

KOTA KINABALU: Taman perumahan mewah di sini, Taman Kingfisher Fasa II berjaya mencatat sifar kes jenayah pecah rumah (break-ins) untuk tiga tahun berturut-turut.

Kejayaan ini adalah hasil daripada perkhidmatan pengawal keselamatan (security service) yang disediakan oleh Kingfisher II Management Sdn.Bhd yang ditubuhkan atas inisiatif para penghuni taman perumahan itu.

Kingfisher II Management Sdn.Bhd dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Cawangan Sabah, Datuk Awang Sham Amit dan dibantu oleh 16 jawatankuasa lain terdiri daripada penghuni perumahan tersebut.

Setiausahanya Encik Sunny Chai berkata, sejak perkhidmatan pengawal keselamatan diwujudkan beberapa tahun lalu sehingga kini, Taman Kingfisher II mencatat sifar kes pecah rumah.

Menurutnya, selain keberkesanan perkhidmatan pengawal keselamatan, kerjasama dan komitmen penghuni taman itu juga menyumbang kepada kejayaan itu.

Terbaru mereka turut menggunakan aplikasi SOS Save U & Me untuk meningkatkan aspek keselamatan penghuni.

“Masalah  yang kami hadapi sekarang ialah keengganan sebahagian besar penghuni taman itu membayar yuran bulanan kepada syarikat pengurusan yang mengupah pengawal keselamatan meronda di seluruh kawasan taman itu”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Datuk Awang Sham Amit disini, semalam.

Turut hadir ialah ahli-ahli jawatankuasa pengurusan termasuk Presiden Putatan Chinese Chamber of Commerce and Industry (PCCCI) Datuk Frankie Liew.

Menurut beliau, hanya 60 peratus pemilik rumah daripada sebanyak 212 buah  jenis detached dan semi-detached yang sudi membayar yuran bulanan mereka. Berbanding pada awal penubuhan mereka yang mencatat lebih 80 peratus.

Bayaran yuran bulanan yang dikenakan ialah RM120 bagi rumah semi-detached dan RM170 bagi rumah jenis detached.

“Yuran yang dikenakan mampu dibayar oleh semua penghuni perumahan, cuma mereka enggan berbuat demikian”, tegasnya.

Sehubungan itu Sunny Chai memohon kerjasama para penghuni Taman Kingfisher II agar memberikan sokongan mereka kepada syarikat pengurusan agar perkhidmatan pengawal keselamatan dapat diteruskan demi kebaikan bersama.

Sementara seorang Ahli Jawatankuasa syarikat pengurusan, Lee Fuh Min berkata, walaupun pihaknya menghadapi masalah keengganan sebahagian penghuni taman itu membayar yuran bulanan bagi tujuan itu, namun perkhidmatan pengawal keselamatan tetap diteruskan demi keselamatan dan keamanan.

“Kita tidak mahu kes pecah rumah dan jenayah lain berulang di taman ini semasa sebelum syarikat pengurusan ditubuh dan melantik syarikat pengawal keselamatan untuk keselamatan penghuni”, tegasnya.

Justeru katanya, kerjasama seluruh penghuni taman itu dalam membayar yuran bulanan yang dikenakan amat penting demi kelangsungan pengurusan aspek pengawalan keselamatan Taman Kingfisher II.-Sayangsabah

Komen


Berita Berkaitan