Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Takut dalam berani

MARSHA sahut cabaran sertai AF Megastar demi karier nyanyian.

 

Nama penyanyi Marsha tidak perlu diperkenalkan lagi. Sejak terbabit dalam program realiti Akademi Fantasia musim ketiga pada 2005, Marsha antara peserta kegemaran ramai.

Populariti diraih Marsha atau nama sebenarnya Marsha Milan Londoh, 32, ketika itu kekal sehingga kini.

 Walaupun kerjaya seninya disulami pelbagai kisah sensasi dan kontroversi, Marsha tetap disenangi ramai.

Bukan setakat menyanyi, bakat Marsha turut digilap dalam bidang pengacaraan dan lakonan. Lebih membanggakan, ketiga-tiga cabang seni ini berjaya digalasnya dengan baik.

Ramai juga peminat menyangka Marsha sudah tidak menyanyi walaupun sebelumnya pernah muncul dengan beberapa single. Malah, ada cakap-cakap mengatakan Marsha lebih sesuai berlakon dan mengacara.

Disebabkan itu, tawaran menyertai program AF Megastar diterima bagi membuktikan dirinya masih boleh menyanyi dengan baik. Pada masa sama, Marsha ingin membuka mata pihak lain mengenai kemampuan sebenar dirinya.

“Pada mulanya saya tidak mahu menyertai pertandingan ini. Malah ketika terdengar ura-ura saya buat tidak tahu saja. Namun selepas diberitahu pengurus mengenai tawaran ini, saya berfikir banyak kali.

“Bukan apa, ketika AF3 dulu saya sudah merasai tekanan bertanding. Saya takut melalui perkara sama lagi. Bagaimanapun, saya menerima tawaran diberikan kerana memikirkan soal kelangsungan kerjaya.

“Lagipun selama ini ramai yang terlupa saya penyanyi. Jadi, ini peluang terbaik untuk saya membuktikan kemampuan sebenar. Kali ini penonton melihat sisi berbeza saya tidak seperti ketika menyertai AF3. Dulu lebih kepada nak menarik perhatian pengundi,” katanya.

Marsha yang juga pelakon filem Jwanita tidak menganggap program ini sebagai pertandingan, sebaliknya pentas untuk dia membuat persembahan.

Malah Marsha berjanji untuk memberikan persembahan berbeza pada setiap minggu.

“Kalau dulu ada guru yang mengajar, tetapi sekarang atas kreativiti sendiri. Pada masa sama, tempoh 12 tahun berada dalam industri hiburan cukup mematangkan saya dalam banyak perkara. Sedikit sebanyak saya sudah belajar sesuatu.

“Bagi mengelakkan berasa tertekan, dari awal lagi saya tetapkan dalam fikiran ini bukan pertandingan. Jadi saya cuba yang terbaik untuk memberikan persembahan berbeza,” katanya.

Pada masa sama, Marsha juga beruntung apabila mendapat sokongan suami tercinta, Mohmamed Shaiful Nizam Ismail.

“Suami tahu saya mudah tertekan, tetapi dia tetap memberikan saya peluang untuk membuat keputusan. Dia tidak pernah memaksa atau menghalang.

“Apabila saya bersetuju, dia pun memberikan sokongan. Pendek kata, sekarang ini suami ibarat pakar motivasi untuk saya. Dia sentiasa ada di sisi,” katanya.

Tidak letak harapan

Berkongsi mengenai pembabitannya dalam program ini, Marsha mengakui dia tidak meletakkan harapan tinggi.

Walaupun dahulu dia sekadar meraih tempat keempat, kali ini Marsha berserah dan reda dengan setiap keputusan.

“Dalam pertandingan apa-apa saja boleh berlaku. Saya pernah melalui perkara ini jadi ia bukan perkara baru. Jadi untuk kali ini saya relak saja dan cuba buat sehabis baik.

“Saya tidak mahu meletakkan sebarang sasaran. Sekiranya tidak terpilih untuk ke peringkat seterusnya, saya okey saja. Disebabkan itu saya membuat persembahan ‘all out’ pada minggu pertama,” katanya.

Pada konsert pertama minggu lalu, Marsha peserta tunggal yang memilih untuk menyanyikan lagu sendiri iaitu Untuk Terakhir Kali yang dipersembahkan pada konsert akhir AF3.

“Saya memilih lagu ini kerana ia memberikan banyak impak dalam kerjaya. Peminat ingat saya dengan lagu ini. Jadi tidak salah jika saya menghadiahkan mereka dengan lagu keramat ini. Pada masa sama, saya nak menebus kekecewaan pada konsert akhir dulu di mana saya terlupa lirik.

“Biarpun orang pernah mendengar lagu ini, saya suntik dengan muzik lebih segar. Saya memberikan warna pada lagu ini agar ia didengar seperti lagu baru. Selain itu, saya persembahkan dengan teknik nyanyian dan vokal yang sebelum ini jarang dibuat,” katanya. – myMetro Online

Komen


Berita Berkaitan