Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Tak pernah halang Shafie, bincang soal pembangunan – Musa

PENGERUSI BN Sabah, Tan Sri Musa Aman (kiri) semasa melakukan pecah tanah bagi pembangunan Kompleks Sukan Tongod dan Arena Belia di Pekan Tongod. – Foto Ihsan Janatan Ketua Menteri.

 

TONGOD: Tan Sri Musa Aman menafikan tuduhan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mendakwa beliau menghalang bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berjumpa wakil kerajaan negeri bagi membincangkan pembangunan di Sabah.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu berkata, tuduhan berkenaan tidak benar, sebaliknya pintu kerajaan negeri sentiasa terbuka kepada sesiapa saja, termasuk menteri Persekutuan yang mahu berjumpa dan berunding demi kepentingan negeri ini.

Katanya, Mohd Shafie yang kini Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), tidak pernah datang berjumpanya ketika menjadi menteri kanan untuk berunding soal pembangunan negeri ini, meskipun dana RM7.5 bilion diperuntukkan kementerian diterajuinya bagi membangunkan luar bandar Sabah.

“Apabila dia jadi menteri sepatutnya datang jumpa kerajaan negeri untuk bincang kawasan mana perlu diberi keutamaan, kawasan mana perlu bina jalan, kawasan mana belum ada air, tetapi dia tak pernah sekali pun datang berjumpa saya, sebab dia angkuh dan sombong.

“Saya hairan (dia) orang Sabah, pemimpin yang kita pilih tidak mahu datang berjumpa, sekarang dia bohong kata saya arahkan supaya dia tidak jumpa saya.

“Saya tidak hilang (akal) fikiran, saya sedar. Orang dari mana-mana sekali pun asalkan datang Sabah, saya cakap sila datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Kompleks Sukan Tongod dan Arena Belia di dewan terbuka dataran Pekan Tongod di sini, hari ini.

Yang turut hadir, calon BN Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah.

TAN Sri Musa Aman (tiga dari kiri) menyampaikan geran tanah komunal kepada wakil penduduk pada Majlis Pecah Tanah Kompleks Sukan dan Arena Belia di dewan terbuka dataran Pekan Tongod. – Foto Poliana Ronnie Sidom.

 

Musa yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, kerajaan negeri turut meluluskan beberapa kemudahan, termasuk pasar am dan kompleks sukan di Semporna apabila permohonan dikemukakan bekas ADUN Bugaya yang kini calon BN Parlimen Semporna, Datuk Ramlee Marahaban.

Katanya, selama berpuluh tahun menjadi wakil rakyat di Semporna dan menjadi menteri, Mohd Shafie gagal untuk membangunkan kawasannya sendiri.

Sementara itu, kompleks Sukan Tongod yang dirasmikan pecah tanah oleh Musa, bakal dibina di kawasan seluas 16 hektar dengan pelbagai kemudahan seperti padang bola sepak, padang sintetik, asrama dan dewan serba guna, manakala arena belia bakal menjadi pusat kegiatan belia.

Kedua-dua kemudahan itu dibiayai kerajaan negeri untuk dilaksanakan melalui Rancangan Malaysia Ke-11. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan