Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,654

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Tak nampak jalan

9:37am 28/12/2015 Pak Roshan 2 views Global
KEADAAN kesesakan jalan raya yang dirakam di lebuh raya Jakarta-Purworejo pada Jumaat lalu.

KEADAAN kesesakan jalan raya yang dirakam di lebuh raya Jakarta-Purworejo pada Jumaat lalu.

Jakarta: Ketua Pengarah Pengangkutan Darat di Kementerian Pengangkutan Indonesia, Djoko Sasono meletakkan jawatan selepas mengakui kegagalannya mengatasi masalah kesesakan jalan raya ketika cuti perayaan Krismas baru-baru ini.

“Saya mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pengarah Pengangkutan Darat kerana sebahagian daripada tanggungjawab saya adalah mengatasi masalah kesesakan lalu lintas,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini kelmarin.

Ujarnya, beliau bertanggungjawab penuh dengan kesesakan lalu lintas teruk di bandar utama di Indonesia ketika cuti Krismas lalu.

“Kesesakan ini adalah kegagalan Ketua Pengarah Pengangkutan Darat.

“Saya meletak jawatan kerana saya bertanggungjawab penuh terhadap tugas seorang ketua pengarah,” jelasnya.

Kesesakan jalan raya setiap kali musim perayaan berlaku setiap tahun di Indonesia apabila jutaan penduduk di bandar pulang ke kampung.

Pada cuti perayaan Krismas baru-baru ini beberapa jalan utama termasuk lebuh raya bertol di Jakarta mengalami kesesakan yang teruk.

Antara lebuh raya yang mengalami kesesakan yang teruk termasuk laluan bertol Jakarta-Bandung dan lebuh raya Cikampek.

Kementerian Pengangkutan sebelum ini berjanji untuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya namun dilihat masih gagal.

Djoko juga enggan mengulas mengenai beberapa spekulasi berhubung keputusannya itu tetapi memberi jaminan dia tidak menerima tekanan daripada mana-mana pihak.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Pengangkutan, JA Barata ketika dihubungi wartawan memberitahu dia hanya mengetahui keputusan Djoko melalui media.

“Saya terkejut dengan keputusan Djoko. Saya hanya mengetahui perkara ini selepas dimaklumkan wartawan,” jelasnya.- Agensi/HMetro

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan