Moscow: Pemberontak pro- Russia di timur Ukraine berkata mereka tidak berupaya atau
berkemampuan untuk menembak jatuh pesawat MH17 milik Malaysia Airlines.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas penyiasat Belanda berkata, pesawat berkenaan ditembak oleh
beberapa ‘objek bertenaga tinggi’.
‘Perdana Menteri’ pemberontak di Donetsk, Alexander Zakharchenko berkata: “Hanya satu yang
boleh saya katakan, kami tidak mempunyai kelengkapan tentera yang mampu menembak pesawat
berkenaan.”
Kiev dan Washington menuduh pemberontak Ukraine bertanggungjawab dalam kejadian yang
menimpa pesawat MH17 pada 17 Julai yang menyebabkan semua 298 penumpang terbunuh.
Kumpulan pemberontak berkenaan dan Moscow berulang kali menafikan mempunyai sebarang
hubungan dengan tindakan menembak jatuh pesawat berkenaan yang melalui ruang udara wilayah
dikuasai puak pemberontak, sebaliknya mendakwa tentera Ukraine yang bertanggungjawab.
Komander kanan pemberontak, Miroslav Rudenko berkata tindakan jelas menunjukkan satu
provokasi dilakukan tentera Ukraine untuk memburukkan imej Russia dan kumpulan militia.
Pakar Belanda semalam mendedahkan hasil siasatan awal berhubung tragedi berkenaan dengan
berkata MH17 ‘berkecai di udara akibat kerosakan struktur yang disebabkan sejumlah besar objek
bertenaga tinggi yang menembusi pesawat berkenaan dari luar.’- AFP