Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Tahap pencapaian pendidikan di Sabah agak mendukacitakan – Mohd Shafie

Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. – Foto Khairull Azry Bidin

 

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata tahap dan pencapaian pendidikan di Sabah masih pada takuk yang agak mendukacitakan.

Mohd Shafie berkata berdasarkan keputusan peperiksaan Penilaian Tingkatan 3, Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia yang diadakan saban tahun, prestasi Sabah kurang memberansangkan berbanding dengan negeri-negeri lain.

Justeru kata Mohd Shafie,  di bawah jentera pentadbiran negeri Sabah yang baharu, beliau mahu melihat ada momentum perubahan bagi memastikan tahap kecemerlangan pendidikan di negeri ini  dapat dipertingkatkan.

“Atas keperluan untuk meningkatkan prestasi pendidikan di negeri ini, kerajaan negeri buat julung kalinya telah mewujudkan jawatan Menteri Pelajaran dan Inovasi yang akan memastikan bahawa bidang pendidikan di negeri ini mendapat tumpuan sewajarnya.”

“Inisiatif  ini membuktikan bahawa teraju kerajaan Sabah yang baharu ini sangat komited dan mengutamakan tahap kecemerlangan dan pencapaian bidang pendidikan di negeri ini,”katanya dalam ucapannya sempena Sambutan Ulang Tahun Zamrud Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya di sini hari ini.

Teks ucapan Mohd Shafie pada majlis yang diadakan di IPG Kampus Gaya itu dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Mohammad Mohamarin. Turut hadir ialah Pengarah IPG Kampus Gaya Gerturude Jock.

Mengenai IPG Kampus Gaya yang merupakan IPG kedua tertua di Sabah, Mohd Shafie yakin institusi pendidikan guru itu akan terus berkembang dan berinovasi dalam memainkan peranannya melahirkan tenaga-tenaga pengajar berkualiti selaras dengan tuntutan dan peredaran zaman.

Katanya sebagai sebuah institusi latihan guru dan telah melahirkan ribuan guru terlatih yang telah dan sedang menabur jasa di seluruh negara, IPG Kampus Gaya perlu memanfaatkan segala kemudahan teknologi terkini untuk memajukan bidang pendidikan terutama di Sabah.

Mohd Shafie juga berharap pelajar di institusi itu  mengambil peluang menuntut ilmu dengan optimum dan bersungguh-sungguh kerana seseorang pelajar perlu mempunyai daya intelek yang tinggi dan mampu berfikir di luar kotak bagi mencari jalan penyelesaian terhadap sesuatu isu dan masalah.

“Lebih daripada itu, pelajar harus berani menyahut cabaran dengan menceburi bidang penyelidikan, inovasi dan teknologi terkini dalam dunia pendidikan,”katanya.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan