Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,778

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Tafsir Surah An-Naba’, Ayat 40: Akhirat Itu Pasti

2:02am 19/11/2015 Zakir Sayang Sabah 53 views i-Muslim
images (3)

Gambar Hiasan

Sebagai seorang Muslim, kita diwajibkan untuk beriman dengan Hari Akhirat. Hari di mana seluruh manusia akan dibangkitkan dari kematian, dan didirikan di hadapan Allah SWT untuk perhitungan dan pembalasan. Hari yang sering dinyatakan di dalam Al-Quran sebagai hari yang sangat besar dan dasyat. Hari di mana Allah SWT telah menutup segala ruang dan peluang bagi para penderhaka bertaubat dan memohon keampunan.

Hari di mana manusia akan dihitung dengan hitungan yang sangat detail dan ketat, hingga tidak terlepas sedikit pun walau sebesar zarrah dari perbuatannya. Hari di mana manusia akan mendapat keputusan masing-masing, sama ada ke syurgakah dia, atau ke nerakakah dia.

Dan pada hari tersebut, orang-orang yang selama ini hidup di dunia tidak pernah ingin sedar dan kembali kepada Allah SWT, hidupnya lalai dan alpa serta penuh dengan penderhakaan dan keingkaran, akan terkejut serta merasa amat takut dengan apa yang dipersembahkan di hadapannya.

Firman Allah SWT yang ingin kita bincangkan di dalam artikel ini ialah ayat ke-40 Surah An-Naba’, menggambarkan situasi itu melalui perbicaraan orang-orang yang ketika di dunia, dia kafir kepada Allah SWT.

“Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), – iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan).” Surah An-Naba’ ayat 40.

Komentar Asy-Syahid Syed Qutb Terhadap Ayat 40 Surah An-Naba’

Asy-Syahid Syed Qutb tidak membahas panjang apabila menyentuh ayat ini. Tetapi ulasan beliau yang ringkas itu, amatlah padat untuk direnungi.

Tulis beliau ketika mengulas ayat ini:

“Tidaklah orang berkata begini(alangkah baiknya aku menjadi tanah) melainkan dia berada dalam kesempitan dan kesedihan yang tersangat.

                Ini adalah kalimat yang memberikan bayang-bayang ketakutan dan penyesalan. Sehingga dia berangan-angan untuk tidak menjadi manusia, dan(mahu) menjadi unsur yang diabaikan dan disia-siakan(tak diperhitungkan). Dia melihat bahawa dengan demikian itu(menjadi tanah) adalah lebih ringan dari menghadapi keadaan yang menakutkan dan mengerikan. Ini satu sikap yang berlawanan dengan keadaan ketika mereka mempertanyakan dan meragukan berita besar tersebut(perihal wujudnya hari akhirat dan pembalasan).”

Akhirat Itu Ialah Perkara Yang Pasti

Kita tidak tahu bila akan berlakunya hari di mana seluruh muka bumi ini akan hancur musnah, dan seluruh yang bernyawa akan menemui ajalnya. Bahkan kita tidak tahu bila kita akan mati pun. Namun hari pembalasan, hari perhitungan, hari di mana kita bakal berdiri di hadapan Allah SWT adalah hari yang akan berlaku selepas kematian kita.

Tiada cara yang mudah untuk membuktikan dengan pembuktian yang sangat jelas sehingga mampu terlihat dek mata kasar, bahawa akhirat itu sesuatu perkara yang pasti. Kerana akhirat itu adalah sebahagian dari perkara yang ghaib, yang tersembunyi dari pandangan zahir kita dan ilmu kita terhadapnya sangatlah sedikit.

Namun bagaimana seorang Muslim mampu mempercayai kewujudan hari akhirat?

Dengan keimanan. Keimanan kepada Allah, keimanan kepada Rasul, keimanan kepada Al-Quran, adalah apa yang akan membawa kita kepada beriman terhadap perkara seperti hari akhirat.

Allah SWT yang menurunkan perkhabaran berkenaan kewujudan hari akhirat, maka di sana adalah menjadi satu tanggungjawab untuk kita sebagai Muslim, untuk turut mempercayai dan beriman kepada kewujudan hari tersebut. Dan kita berulang kali diperingatkan tentangnya.

Sekiranya kita fikirkan dengan akal yang waras, apakah selepas mati, kita akan sekadar hilang dan tiada? Adakah begitu lemah sekali tujuan penciptaan kita? Untuk akhirnya menjadi tanah dan debu?

Allah SWT bukan Tuhan yang suka dengan kesia-siaan. Dia tidak menciptakan kita hanya untuk suka-suka. Dia menciptakan manusia itu dengan tujuan, dan Dia menurunkan peraturan, kemudian Dia mengkhabarkan akan berlakunya penilaian, seterusnya di akhirnya akan wujud pembalasan.

“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu dengan sia-sia? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?” Surah Al-Mukminun ayat 115.

Tiada Yang Akan Terlepas Dari Pembalasan

Pembalasan di hari akhirat bukanlah pembalasan yang kita lihat di atas muka bumi ini. Bukanlah hakimnya seorang manusia, yang penuh kekurangan dan punya cacat cela. Bukanlah yang merekodkan amalan itu ialah yang boleh terlupa, yang boleh tersilap dan boleh terlepas pandang.

Yang akan menjadi hakim pada hari akhirat itu ialah Allah SWT. Segala amalan dan perbuatan kita sepanjang keberadaan kita di atas muka bumi, setiap detik dan saat, akan dibentangkan semula pada hari tersebut.

Tidak akan terlepas walau sedikit.

Dan terbentang pada hari itu hanya salah satu dari dua keputusan. Sama ada kita akan dimasukkan ke dalam syurga atau kita akan dilempar ke dalam neraka.

Bayangkan, kita seorang yang hidupnya lalai, derhaka kepada Allah SWT. Telah datang kepada kita peringatan demi peringatan, nasihat demi nasihat, pesanan demi pesanan, namun kita ego dari menyahutnya. Kita besar kepala dan mengabaikannya. Kita teruskan kehidupan kita dalam keadaan ingkar dan derhaka kepada Allah SWT, melalui pelbagai justifikasi yang kita ceritakan kepada diri kita sendiri.

Dan kemudian kita dibangkitkan dari kematian kita, didirikan di hadapan Allah SWT yang Maha Besar, Yang Maha Berkuasa. Dibentangkan segala amalan kita sepanjang kita berada di dunia. Dan dipersembahkan kepada kita azab siksa yang dasyat, yang sedang menanti kita.

Apakah keadaan kita pada hari tersebut?

Jika saya, sudah pasti saya takut. Takut yang teramat takut. Pertama, kerana sudah mengetahui apa keputusannya(kerana tahu bahawa diri memikul dosa yang teramat banyak, dan telah mengabaikan segala nasihat, serta membiarkan segala peluang bertaubat pergi begitu sahaja). Kedua, kerana saya tahu bahawa saya tidak akan boleh dihidupkan kembali untuk beramal soleh, saya tidak boleh lagi lari dari keputusan yang bakal diputuskan ke atas saya.

Sudah pasti akan terkeluar keluhan dari mulut para penderhaka.

“Alangkah baiknya kalau dahulu aku hanya menjadi tanah.”

Hingga begitu sekali Allah menghina orang-orang yang keras kepala. Hingga terpacul pada mulut mereka, bahawa mereka lebih rela menjadi tanah. Kerana takut dan menyesalnya mereka, tatkala dipersembahkan akan benarnya hari akhirat, serta segala azab seksa yang menanti mereka.

Padahal pada ketika di dunia, saat kita senang dan lalai, alpa dan leka, pasti tidak terfikir untuk kita berhajat menjadi tanah. Kerana apa nikmatnya menjadi tanah? Apa kelebihannya menjadi tanah?

Ya.

Dasyat sekali siksaan di hari akhirat itu.

Namun kita belum sampai lagi kepadanya.

 

Penutup: Kita Masih Hidup, Dan Berpeluang Melakukan Perubahan

Kita masih hidup. Alhamdulillah.

Dan nikmat itu bukan untuk dipersia-siakan. Kita belum mati, belum lagi didirikan di hadapan Allah SWT, dan belum lagi terpacul pada mulut kita akan hajat kita menjadi tanah, kerana melihat siksa dan azab yang telah ternanti di hadapan kita.

Kita masih punya peluang.

Peluang untuk melakukan perubahan, menambah kebaikan, mempergiat amal-amal yang diredhai Allah SWT. Peluang untuk bertaubat dan memohon keampunan, menjadi manusia yang baik, yang disayangi serta dikasihi Allah SWT.

Menjadi orang yang tatkala didirikan tubuhnya di hadapan Allah SWT kelak, dia tidak akan berkata bahawa dia berhajat menjadi tanah. Bahkan dia akan berkata bahawa dia rasa bersyukur kerana diciptakan sebagai manusia, lantas berjaya mendapat syurga.

Realiti itu bukan mustahil buat kita.

Sekiranya kita mula menghargai kehidupan kita, bermula sekarang.

Ayat 40 Surah An-Naba’ hakikatnya adalah ayat yang sangat mendalam. Seakan-akan Allah SWT hendak berkata kepada kita yang masih hidup: “Engkau masih lagi hidup, jangan sampai menyesal seperti apa yang telah Aku khabarkan.”

Kiamat belum berlaku, hari pembalasan belum berlangsung. Namun kasihnya Allah SWT, Dia mengkhabarkan kepada kita apa akan berlaku pada hari tersebut, sekiranya kita mendurhakaiNya.

Kerana Dia sayang kepada kita.

Apakah tidak kita merasai kasih sayang tersebut?

Muhasabah.

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Hilal Asyraf)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan