Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Tabung Haji Terima RM9.15 Juta Sumbangan Korporat Untuk Jemaah Haji

Tabung-Haji

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji menerima sumbangan berjumlah RM9.15 juta daripada 34 syarikat korporat dan swasta menerusi Program Sahabat Korporat Tabung Haji pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata sumbangan itu terdiri daripada barangan keperluan dan wang tunai untuk kegunaan jemaah haji yang menunaikan ibadah itu, tahun ini.

“Saya bagi pihak Tabung Haji dan jemaah-jemaah haji tahun ini ingin merakamkan penghargaan kepada sahabat-sahabat korporat Tabung Haji yang telah tampil memberikan sumbangan mereka.

“Sumbangan mereka terdiri daripada beg, buku panduan haji, peralatan kebersihan diri, ubat-ubatan dan saya amat berterima kasih kerana sumbangan ini amat bermakna kepada jemaah haji tahun ini,” katanya kepada pemberita semasa majlis simbolik penyerahan sumbangan dan penghargaan sahabat korporat Tabung Haji musim haji 1436H, di sini Selasa.

Katanya, sumbangan itu amat membantu Tabung Haji, terutama ketika lembaga itu dijangka menanggung RM150 juta perbelanjaan pengurusan jemaah haji tahun ini termasuk tanggungan subsidi haji sebanyak RM7,290 bagi setiap jemaah haji.

Antara badan-badan korporat dan agensi yang tampil memberikan sumbangan itu termasuk Yayasan Felda, Maybank Islamic Bhd, Lembaga Zakat Selangor, Chemical Company of Malaysia Bhd, Bank Islam Bhd, Telekom Malaysia, Affin Bank Bhd, Bank Rakyat, BIMB Holdings Bhd, Malakoff Corporation Bhd dan Perodua Sales Sdn Bhd.

Dalam pada itu Jamil Khir berkata, sebanyak 22,320 jemaah akan menunaikan ibadat haji pada tahun ini iaitu berkurangan sebanyak lebih 20 peratus berbanding kouta sebelum ini iaitu 27,900.

Katanya, pengurangan kouta itu oleh kerajaan Arab Saudi sejak 2013 berikutan kerja-kerja pembangunan Masjidil Haram dan kemudahan operasi haji yang lain yang masih belum selesai.

“Bagaimanapun kita telah membuat permohonan rasmi kepada kerajaan Arab Saudi untuk memberikan kouta tambahan pada tahun ini dan kita masih menunggu jawapan daripada mereka,” katanya.

Selain itu, katanya, Kursus Perdana Haji yang dilaksanakan di seluruh negara sebagai persediaan untuk jemaah haji sebelum ke tanah suci juga sudah hampir selesai dan kumpulan pertama jemaah dijangka akan diterbangkan pada 16 Ogos ini. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan