Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Syukuri nikmat kemerdekaan

kemerdekaan

PITAS 22 Ogos – Menjangkau usia 57 tahun kemerdekaan, pelbagai cabaran yang telah dilalui bersama bagi memastikan keamanan dan kemakmuran negara terus kekal selamanya.

Sehubungan itu, Pengerusi Ko Nelayan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi, Datuk Abdul Mijul Unaini, mahu rakyat negara ini tanpa mengira kaum mensyukuri serta menanam nikmat kemerdekaan dalam jiwa mereka.

Menurut beliau, perpaduan dan permuafakatan menjadi teras keutuhan rakyat berbilang kaum tanpa mengambil kira fahaman agama dan politik masing-masing.

“Sifat setiakawan dan persaudaraan yang terjalin sejak sekian lama menjadi bukti bahawa negeri ini merupakan contoh terbaik gagasan 1Malaysia,” katanya semasa berucap merasmikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2014 dan Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Daerah Pitas anjuran Jabatan Penerangan Sabah , di Tapak Tamu Kanimbongan, di sini hari ini.

Mijul menegaskan, perjuangan pemimpin terdahulu yang berusaha untuk menyediakan pentas kemerdekaan ini harus dikenang dan ingati bukan hanya menjelang hari merdeka tapi perlu di semat di sanubari anak muda hari ini yang merupakan bakal pewaris kepimpinan negara.

Tamban beliau, rasa kecintaan pada negara mesti dipupuk dalam diri rakyat Malaysia sesuai dengan tema sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini iaitu ‘Malaysia… Di sini Lahirnya Sebuah Cinta.’

“Peristiwa yang berlaku baru-baru ini benar-benar menguji kesatuan seluruh rakyat. Tanggungjawab perlu kita pikul bersama dan bukan hanya meletakkan peranan itu kepada kerajaan semata-mata dan jangan pula kita menunding jari kepada mana-mana pihak untuk mencari salah siapa.

“Sesungguhnya rakyat yang mensyukuri nikmat kemerdekaan adalah rakyat yang akan bersama-sama dengan kerajaan dalam apa keadaan sekalipun ibarat pepatah ‘Gunung sama didaki, lurah sama dituruni’ dan jangan jadi seperti ‘kacang lupakan kulit’.

“Generasi muda hari ini merupakan penentu kegemilangan negara pada masa akan datang. Justeru itu, golongan muda perlu sentiasa menggilap dan mengingati jerih perih serta kesukaran rakyat terdahulu hidup dalam penjajahan dan mendapatkan kemerdekaan,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian negeri merangkap ADUN Pitas, Datuk Bolkiah Ismail; Pegawai Daerah Pitas, Bubudan Majalu, ketua-ketua jabatan Persekutuan dan negeri, pemimpin-pemimpin masyarakat serta orang ramai sekitar daerah Pitas.

Sebanyak 30 buah kenderaan dan 20 buah motorsikal dari pelbagai jabatan, agensi dan persatuan bukan kerajaan (NGO) turut serta menyemarakkan sambutan berkenaan di sini, tahun ini.

Komen


Berita Berkaitan