Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Syor lantik menteri penuh wanita dari Sabah

KETUA Wanita UMNO Kota Marudu, Datuk Redonah Bahanda menyemak pendaftaran perwakilan sambil diperhatikan Setiausaha Wanita UMNO bahagian itu, Emran Maidin. – Foto Mohd Nazllie Zainul

 

KOTA MARUDU: Pergerakan Wanita UMNO Kota Marudu meminta pucuk pimpinan parti memberi jawatan menteri penuh Persekutuan kepada pemimpin Wanita UMNO Sabah.

Pada masa sama, jawatan menteri dalam kalangan wanita juga ditambah menjadi dua di peringkat Kabinet negeri.

Usul itu dikemukakan pada persidangan perwakilan Wanita UMNO bahagian itu berdasarkan pencapaian dan prestasi cemerlang UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah dalam membantu kemenangan parti.

Ketua Wanita UMNO Kota Marudu, Datuk Redonah Bahanda, berkata pada masa ini, Sabah tidak mempunyai menteri penuh dalam kalangan wanita di peringkat Pusat, manakala cuma seorang wakil golongan itu sebagai menteri dalam kerajaan negeri.

“Kami turut mencadangkan supaya wakil rakyat Wanita UMNO dan BN sedia ada dikekalkan dan muka baharu ditambah untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Ini membuktikan bahawa wanita yang menjadi tulang belakang parti turut diberi peluang. Kepemimpinan BN negeri dan Pusat wajar memberi pertimbangan serius.

“Cadangan ini berdasarkan perkembangan semasa dan kita meminta pucuk pimpinan melaksanakan segera 30 peratus calon UMNO terdiri daripada kalangan wanita,” katanya pada Mesyuarat Perwakilan dan Majlis Sambutan Aidilfitri Wanita UMNO Kota Marudu di sini, hari ini.

Seramai 1,137 perwakilan daripada 227 cawangan hadir mesyuarat itu yang dirasmikan oleh Naib Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid yang mewakili Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Armani Mahiruddin. –  BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan