Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,509

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Syarat-Syarat Sah Solat Berjemaah

9:34pm 10/01/2017 Zikri Zainudin 106 views i-Muslim

Gambar Hiasan

Solat berjemaah melatih diri supaya sentiasa hormat, taat dan patuh kepada ketua.

Ini kerana imam di dalam solat adalah ketua kepada makmum. Di dalam solat berjemaah juga ada didikan pergaulan dalam masyarakat kerana jemaah tidak dibezakan oleh darjat mereka di dunia walaupun kedudukan imam mungkin lebih rendah daripada makmum. Maka, solat jemaah juga mengajar kebersamaan selain semangat bekerjasama.

Kerana kelebihan-kelebihan solat berjemaah ini, ia amat dituntut di dalam Islam kecuali seseorang itu terpaksa tidak mengerjakan solat secara berjemaah kerana hal-hal berikut:

• Hujan yang menghalang dirinya ke masjid.

• Angin yang sangat kuat atau udara yang sagat dingin.

• Sangat lapar manakala makanan pula sudah terhidang.

• Orang sakit.

• Orang yang takut kehilangan hartanya atau dengan sesuatu gangguan atau sedang mengantuk.

Di sini disenaraikan beberapa syarat solat berjemaah:

1. Makmum wajib berniat mengikut imam.

2. Makmum tidak boleh mendahului imam dalam semua keadaan sama ada dari segi saf, tempat atau perbuatan.

3. Makmum mesti mengikut segala perbuatan dan kelakuan imam. Solat makmum dikira batal jika makmum mendahului atau terlambat daripada imam dalam jarak 2 rukun fikli tanpa uzur.

4. Imam dan makmum mesti sama dalam bentuk solatnya.

5. Makmum tahu segala perbuatan imam dan perpindahan rukun.

6. Kedudukan imam mesti di depan makmum dan bukan sebaliknya.

7. Kedudukan makmum tidak terlalu jauh daripada imam melainkan kadar di dalam satu bumbung masjid.

8. Makmum mesti yakin bahawa solat imamnya adalah sah.

9. Tidak solat fardu mengikut solat sunat.

10. Tidak sah orang yang qari mengikut imam yang ummi.

Imam memainkan peranan penting di dalam solat berjemaah kerana imam adalah ketua yang akan memimpin makmum di dalam menunaikan perintah Allah.

Berikut adalah syarat-syarat kelayakan menjadi imam:

1. Seorang yang qari iaitu seorang yang bacaannya baik khususnya surah al-Fatihah.

2. Keutamaan kepada seorang yang alim di dalam ilmu agamanya.

3. Orang yang lebih tua lebih baik daripada orang muda.

4. Tuan rumah lebih baik daripada tetamu.

5. Seorang yang disayangi ramai lebih layak berbanding seorang yang dibenci.

6. Seorang yang bersih pakaiannya lebih layak daripada seorang yang kotor.

7. Orang yang bermukim lebih baik daripada orang yang musafir.

Imam juga mestilah lelaki jika makmum yang dipimpinnya adalah wanita. Dalam perkara ini, ia boleh dijelaskan sebagaimana berikut:

• Lelaki tidak boleh mengikut perempuan.

• Lelaki tidak boleh mengikut khunsa iaitu yang tidak jelas sama ada lelaki atau perempuan.

• Khunsa tidak boleh mengikut perempuan.

• Khunsa tidak boleh mengikut khunsa.

• Perempuan boleh bersolat berimamkan perempuan.

• Perempuan boleh mengikut khunsa.

• Kanak-kanak yang sudah mumaiyiz atau remaja boleh menjadi imam kepada lelaki yang dewasa.

Semoga kita dapat memahami perkara berkaitan solat berjemaah dan mengambil peluang bagi setiap kelebihannya.

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Anas)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan