Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Syabu 26kg dirampas di Tawau

SYABU 26 KG… Janathan (dua dari kini) bersama-sama pegawai kanan Kastam menunjukkan dadah syabu yang dirampas di Tawau. – foto Lau Siew Meei
SYABU 26 KG… Janathan (dua dari kini) bersama-sama pegawai kanan Kastam menunjukkan dadah syabu yang dirampas di Tawau. – foto SayangSabah

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia negeri merampas 26 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM5 juta dalam serbuan di berhampiran lapangan terbang Tawau pada Jumaat lalu.

Pengarahnya Datuk Janathan Kandok berkata, jumlah rampasan tersebut merupakan yang terbesar dicatat oleh Jabatan Kastam sejak 2012.

Mengikut fakta kes, dadah yang diletakkan dalam kotak dikesan awal melalui mesin pengimbas oleh anggota Kastam Cawangan MAS Kargo di sini sebelum pihak berkuasa membuat pemantauan bagi menyiasat pemilik dadah tersebut.

“Pihak berkuasa kemudian menyerbu dan menahan dua orang lelaki berumur 54 dan 56 tahun, sebaik sahaja suspek memunggah dadah terbabit ke dalam sebuah kenderaan kira-kira 3.45 petang Jumaat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek menggunakan khidmat pos laju untuk membawa masuk dadah itu ke daerah ini bagi mengaburi pihak berkuasa.

Kedua-dua suspek itu kini ditahan reman di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk siasatan lanjut.

“Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan terperinci terhadap pembabitan suspek termasuk rangkaian pengedaran dadah,” katanya lagi.

Janathan juga berkata, Jabatan Kastam mencatat 19 kes dengan nilai rampasan dadah sebanyak RM10.0 juta sejak tahun 2012.

“Sepanjang tempoh empat tahun, seramai 19 orang suspek telah ditangkap dalam beberapa siri serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Kastam,” tambah beliau.

Daripada jumlah itu, 10 suspek merupakan rakyat tempatan manakala 9 lagi adalah warga asing.

Dalam pada itu, beliau juga berkata bahawa pihak Jabatan Kastam akan memperkasakan lagi usaha membanteras penyeludupan dadah ke negara ini dengan menempatkan pegawai kanan Jabatan di unit narkotik Sabah.

“Penolong Pengarah Kastam negeri, Bakri Mangka dilantik untuk mengetuai Unit Narkotik Sabah,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menasihati rakyat agar tidak terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah bagi mengelak hukuman berat dikenakan terhadap mereka.

“Kes dadah adalah satu jenayah berat,” tegas beliau. – oleh Nuzir Andi Samsiar / sayangsabah

Komen


Berita Berkaitan