Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Suspek pecah rumah dikejar polis hampir 30 kilometer

KOTA KINABALU – Selepas mengejar hampir 30 kilometer, sepasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akhirnya berjaya memberkas suspek lelaki yang dipercayai terlibat dalam jenayah pecah rumah di Tuaran.

Namun, seorang daripada dua suspek itu berjaya melarikan setelah kenderaan yang dinaiki mereka terbabit dalam satu kemalangan jalanraya berhampiran Puri Warisan, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner M.Chandra berkata, suspek warga tempatan berasal dari Perumahan KKIP, Sepanggar itu dipercayai dapat membantu siasatan kes pecah rumah yang berlaku pada awal pagi hari ini di Kampung Lok Batik, Tuaran.

“Polis daerah Tuaran menerima laporan daripada pengadu yang mendakwa terlihat tangan seorang lelaki membuka tingkap rumahnya semasa bangun dari tidur kira-kira jam 5.10 pagi,” katanya di sini.

Menurut Chandra, pengadu yang mensyaki rumahnya telah dipecah masuk seterusnya membuat pemeriksaan sebelum mendapati seutas jam tangan jenama Caiho dan satu kunci kereta Toyota Vigo hilang.

Katanya, pada kira-kira jam 11.30 pagi, polis menerima maklumat awam yang mengatakan sebuah kenderaan Perodua Viva dalam keadaan mencurigakan berada di pekan Tuaran.

“Bertindak atas maklumat awam, sepasukan polis dihantar ke lokasi berkenaan untuk menjalankan siasatan sebelum anggota unit polis peronda IPD Tuaran berjaya mengesan kenderaan terbabit di Kampung Mengkabong, Tuaran,” katanya lagi.

Beliau berkata, melihat kehadiran polis suspek bertindak memecut kenderaan mereka menuju ke arah Jalan Sepanggar.

“Pada jam 1.13 petang, Bilik Gerakan IPD Tuaran menghubungi Bilik Gerakan IPD Kota Kinabalu bagi mendapatkan bantuan menahan kenderaan suspek,” tambah beliau.

Satu operasi sekatan jalanraya kemudian dijalankan oleh anggota IPD Kota Kinabalu yang turut dibantu unit polis peronda dari balai polis Menggatal.

Ketika tiba di persimpangan lampu isyarat Tebobon, suspek bertindak nekad melarikan diri dengan memandu di laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat Isuzu Dmax berhampiran Taman Puri Warisan, dekat sini.

“Kemalangan itu mengakibatkan seorang suspek yang duduk di bahagian penumpang hadapan tidak sedarkan diri dan cedera di bahagian kaki, manakala seorang lagi suspek yang memandu berjaya melarikan diri ke arah Taman Puri Warisan,” kata Chandra.

Pemandu Isuzu Dmax yang berumur 50 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.
Sehubungan itu, pihak polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang suspek lelaki yang berjaya melarikan diri itu dengan menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Muhanmad Sharif melalui talian 014-8463569 atau di balai polis berhampiran.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – Oleh NUZIR ANDI SAMSIAR / Sayangsabah

- Gambar Hiasan
– Gambar Hiasan

Komen


Berita Berkaitan