Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,655

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Suntik semangat patriotisme melalui program kemasyarakatan

11:22am 17/09/2016 Leolerry Lajius 24 views Tempatan
Peserta mengambil gambar ketika bergotong-royong sempena program berkenaan.

Peserta mengambil gambar ketika bergotong-royong sempena program berkenaan.

TUARAN : Lebih 200 penduduk sekitar Kampung Sabandar membabitkan beberapa buah Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan kelab sukan disini berjaya memeriahkan Program Kayuhan Hari Malaysia dan ‘Family On Alert’.
Program sehari yang diadakan bertempat di Pantai Sabandar itu disempurnakan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Tuaran Jamaliah Antalip.
Pengerusi Skuad 1Malaysia Tuaran Muhamad Zaineh Jali @ Zieco berkata, penduduk yang menyertai program itu turut berkayuh sejauh lebih 15 kilometer sebelum mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan pantai.
Katanya, pemilihan lokasi itu adalah sebagai inisiatif mengindahkan kawasan pantai yang turut terkenal sebagai lokasi pengunjung berkelah khususnya dihujung minggu.
“Selain berkayuh basikal dan bergotong-royong, kita juga turut mengadakan ceramah mengenai bahaya dadah yang dilaksanakan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah Tuaran.
“Dalam program ini juga, mereka yang pernah terbabit dengan penyalahgunaan dadah turut dilibatkan bagi mendekatkan mereka dengan masyarakat setempat tanpa sangkaan yang negatif,”katanya ketika dihubungi disini, semalam.
Muhamad Zaineh yang juga Presiden Kelab Sukan Berbasikal Sulaman berkata, program itu turut dapat membudayakan aktiviti sukan berbasikal dikalangan ahli dan penduduk setempat.
Katanya, penduduk setempat dan ahli NGO mampu menerapkan nilai cintakan kebersihan pantai dengan aktiviti bergotong-royong membersihkan pantai.
“Kebetulan program ini jatuh pada Hari Malaysia, kita juga mahu menerapkan nilai- nilai patriotisme dikalangan ahli skuad dan jawatankuasa program bersama penduduk setempat.
“Selain itu, kami juga ingin mewujudkan perpaduan dan kerjasama antara ahli dan penduduk kampung dalam menjaga keindahan pantai Sabandar,”katanya.
Program itu turut disertai ahli Skuad 1 Malaysia Tuaran; Biro Sukan dan Kebudayaan Wanita UMNO Tuaran;Kelab Sukan Berbasikal Sulaman Tuaran; Agro Cycling Team Tuaran (ACT) dan penduduk setempat.
Antara aktiviti yang diadakan seperti kayuhan basikal Hari Malaysia; senamrobik; gotong-royong dan ceramah anti dadah./SayangSabah

Peserta yang mengambil bahagian dalam program berkenaan.

Peserta yang mengambil bahagian dalam program berkenaan.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan