Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Suku Kaum Rungus Di Kampung Labuah Sama Sokong BN

KUDAT – Suku kaum Rungus di Kampung Labuan Sama, dekat sini memberi jaminan akan menyokong penuh calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Kapor dan Parlimen Kudat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Ketua Kampung Labuan Sama, Angandai Gantang, 64, berkata seramai 170 pengundi di kampung itu secara tradisinya dari dahulu menjadi penyokong BN dan tidak pernah sesekali mengalihkan sokongan itu kepada parti pembangkang. 

“Kami seramai 170 penggundi di sini adalah sebahagian daripada pengundi di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Suangpai dan pada PRU14 ini sokongan kami terhadap BN tidak pernah berganjak.

“Kami sentiasa membuktikan bahawa kami tetap bersama BN. Ada pemimpin daripada parti pembangkang datang ke kampung ini untuk meraih undi namun kami tidak akan sesekali terpengaruh dengan janji-janji yang mereka berikan kerana kami yakin hanya kerajaan BN yang mampu berikan apa yang kami mahu demi masa depan anak-anak kami,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui di rumah panjang yang dihuninya bersama beberapa keluarga lain, dekat sini baru-baru ini.

Calon BN yang akan bertanding di kerusi Parlimen Kudat adalah penyandang kerusi Parlimen itu selama tiga penggal sejak 2004, Datuk Abdul Rahim Bakri yang bakal ditentang dua calon pembangkang iaitu Shariff Azman Sh Along daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Mohd Ashraf Chin Abdullah daripada Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS).

Datuk Teo Chee Kang pula merupakan calon BN di kerusi DUN Tanjong Kapor yang juga penyandang kerusi DUN berkenaan selama dua penggal sejak 2008, berhadapan pertandingan lima penjuru dengan calon daripada Parti Cinta Sabah (PCS), Warisan, PPRS dan PAS.

Angandai berkata kedua-dua calon BN berkenaan tidak asing lagi bagi penduduk di kampung berkenaan yang telah banyak menerima bantuan kerajaan menerusi kedua-dua calon berkenaan.

Nersia Mojunding, 60, pula berkata sokongan tidak berbelah bahagi tetap akan diberikan kepada calon BN kerana sejak dahulu hanya BN yang terus menyalurkan bantuan di kampung berkenaan.

“Kerajaan BN lah yang beri macam-macam kepada kita di sini…selain membangunkan pelbagai kemudahan di kampung ini, kerajaan juga memberi bantuan kepada anak-anak kami yang masih bersekolah.

“Kami tidak akan sesekali memberikan undi kami kepada pembangkang yang hanya datang minta undi apabila musim pilihan raya. Kami di kampung ini juga pandai menilai siapa yang patut disokong,” tambahnya.

Mering Manduding, 60, berkata selama ini sudah terbukti dengan jelas hanya kerajaan yang diterajui BN mampu membawa kemajuan di kampung berkenaan.

“Dulu kampung ini tidak memiliki elektrik, jalan raya dan bekalan air bersih. Namun kini kampung ini juga telah menikmati semua yang ada di kawasan lain…dan kesemua pembangunan itu dibawa oleh kerajaan dan kita mahu perancangan pembangunan di kampung dapat diteruskan agar kita tidak ketinggalan dengan kampung lain. Oleh itu kami di kampung masih memerlukan khidmat kerajaan BN,” katanya. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan