BEAUFORT – Kira-kira 200 sukarelawan dari pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta media diraikan dalam satu majlis yang diadakan bagi menghargai sumbangan mereka dalam membantu mangsa banjir di daerah ini.
Majlis anjuran Pusat Khidmat Parlimen Beaufort yang bertemakan ‘Program Santai Terima Kasih Bersama Petugas Sukarelawan’ itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun di sini semalam.
Azizah dalam ucapannya berkata, bantuan yang dihulurkan oleh sukarelawan terbabit terhadap mangsa banjir tanpa mengira bangsa dan agama, amat dihargai oleh kerajaan.
“Kerajaan berterima kasih kepada sukarelawan yang banyak membantu pihak berkuasa semasa proses pemindahan mangsa banjir ke lokasi selamat dijalankan,” katanya.
Selain itu, katanya, sukarelawan tersebut turut membantu membersihkan sekolah, rumah, masjid serta kemudahan infrastruktur lain yang rosak akibat bencana berkenaan.
“Bencana yang berlaku di beberapa buah daerah dan negeri di seluruh Negara baru-baru ini disifatkan sebagai amat mencabar, namun terdapat hikmah di sebaliknya apabila ramai pihak tampil menghulurkan bantuan,” tambah beliau. – Oleh Aryan De Vera / Sayangsabah
