Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sukan luncur ombak di Sabah semakin diminati

Seorang peserta dalam kategori 'Short Board' sedang menunjukkan kemahiran di pertandingan itu. - foto Aryan De Vera
Seorang peserta dalam kategori ‘Short Board’ sedang menunjukkan kemahiran di pertandingan itu. – foto Aryan De Vera

Sememangnya sukan luncur ombak di Malaysia kurang dikenali, apatah lagi di Sabah kerana ramai beranggapan aktiviti berkenaan hanya dekat di hati pelancong dan peluncur dari negara barat berbanding masyarakat tempatan.

Malah, aktiviti ini juga dianggap ‘mahal’ dan hanya melibatkan mereka yang berkemampuan tanpa menyedari bahawa sesiapa saja boleh berjinak-jinak dengan sukan ini kerana apa yang penting adalah minat dan kemahuan.

Namun, zaman sudah berubah malah sukan ini juga mula popular di Sabah apabila Festival Luncur Ombak Borneo yang diadakan baru-baru ini, mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat.

Masakan tidak, seramai 32 orang telah menyertai pertandingan luncur ombak di festival anjuran Kelab Luncur Sabah (KLS) selama dua hari itu yang diadakan di Nexus Resort and Spa Karambunai (NRSK) pada 20 dan 21 Disember, baru-baru ini.

Peserta pertandingan luncur ombak mempamerkan kemahiran dalam Festival Luncur Ombak Borneo selama dua hari, baru-baru ini.
Peserta pertandingan luncur ombak mempamerkan kemahiran dalam Festival Luncur Ombak Borneo selama dua hari, baru-baru ini. – foto Aryan De Vera

Terdapat dua kategori luncur ombak iaitu ‘Short Board’ dan ‘Body Board Shoot Out’  dipertandingkan dalam festival itu yang turut disertai peserta dari Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah.

Menariknya, pertandingan yang sering dikaitkan dengan kaum lelaki itu turut disertai golongan wanita, sekaligus membuktikan sukan lasak itu sudah mula mendapat tempat di kalangan kaum hawa.

Malah, dua peserta wanita berjaya mengalahkan peserta lelaki dalam acara Body Board Shoot Out dan Short Board menerusi Dayang Maisara Kamin dan Jeaner Alex yang meraih trofi dan hadiah tajaan Rip Curl Malaysia dan Deep Borneo.

Selain acara luncur ombak, pengunjung turut dihiburkan dengan pelbagai acara sepanjang festival itu antaranya Kelas Luncur Ombak, Sunset Zumba, pameran Skim Bording, bengkel membuat gelang tangan serta beberapa aktiviti lagi.

Naib Presiden Kelab Luncur Sabah, Feizal Karim berkata, penganjuran festival dan pertandingan luncur ombak yang julung kali itu merupakan tajaan dan kerjasama pihaknya bersama Nexus Resot & Spa Karambunai.

Menurutnya, pertandingan sukan berkenaan juga merupakan penganjuran kali kedua KLS yang sebelum ini pernah mengadakan acara sama namun berskala kecil di pantai Tanjung Aru awal tahun ini.

Katanya, ia merupakan salah satu daripada agenda KLS dalam usaha mempopularkan sukan luncur ombak kepada masyarakat di negeri ini termasuk menarik lebih ramai ahli untuk menyertai kelab tersebut.

Peserta pertandingan luncur ombak anjuran KLS mengabadikan gambar kenangan di Festival Luncur Ombak Borneo yang diadakan di Nexus Resort and Spa Karambunai.
Peserta pertandingan luncur ombak anjuran KLS mengabadikan gambar kenangan di Festival Luncur Ombak Borneo yang diadakan di Nexus Resort and Spa Karambunai. – foto Aryan De Vera

“Setakat ini, KLS yang telah ditubuhkan dua tahun lalu dianggotai seramai 50 ahli dan pengerusi kepada kelab ini adalah Ivan Tan yang merupakan salah seorang perintis kepada sukan luncur ombak di Sabah.

“Justeru, penganjuran festival dan pertandingan ini merupakan satu acara penyudah indah untuk penghujung tahun ini, malah satu permulaan baru bagi KLS dalam mengembangkan lagi kelab ini pada tahun 2015,” katanya yang meletakkan sasaran lebih ramai masyarakat terutama golongan muda untuk menyertai KLS.

Menurut Feizal berkata, antara yang kerap dilaksanakan termasuklah, mengadakan kunjungan ke beberapa tempat di seluruh negeri ini dan luar negara bagi mencari lokasi sesuai untuk meluncur ombak.

“Di Sabah sahaja, terdapat lapan lokasi untuk ahli KLS menjalankan aktiviti sukan ini seperti Pantai Tanjung Aru, Pantai NRSK, Pantai Kelambu dan Tanjung Simpang Mengayau di Kudat, termasuk beberapa pulau di Taman Tunku Abdul Rahman selain mengadakan lawatan ke luar negara,” ujarnya. – oleh  Aryan De Vera / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan