Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sukan Komanwel: Buruan pingat emas kontinjen Malaysia bermula

komanwel2014

GLASGOW: Buruan pingat oleh kontinjen negara bagi Sukan Komanwel di sini akan bermula secara rasmi awal pagi esok.

Upacara perasmian temasya sukan yang membabitkan 6,500 atlet dari 71 negara itu akan diadakan di Celtic Park bermula pada pukul 8 malam waktu tempatan (kira-kira pukul 3 pagi waktu Malaysia).

Edisi yang ke-20 ini adalah yang ketiga dianjurkan oleh Scotland selepas dua kali diadakan di Edinburgh pada 1970 dan 1986.

Sepanjang penyertaan Malaysia dalam temasya Sukan Komanwel sejak 1950, kontinjen negara meraih dua pingat emas di Victoria, Kanada pada 1994; 10 emas di Kuala Lumpur (1998), tujuh emas di Manchester, England (2002) dan Melbourne, Australia (2006) serta pencapaian terbaik iaitu 12 emas, di New Delhi, India (2010).

Pada temasya kali ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menetapkan sasaran tujuh emas, jauh lebih rendah daripada pencapaian di New Delhi (12).

Bagaimanapun, jumlah sasaran itu dipersetujui Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Majlis Sukan Negara (MSN) disifatkan sebagai realistik berdasarkan situasi semasa dan pengguguran beberapa acara kegemaran Malaysia oleh negara penganjur.

Untuk edisi kali ini, kontinjen negara diwakili 269 orang atlet dan pegawai. Daripada sejumlah 179 orang atlet, 135 daripadanya adalah atlet elit, lima atlet pelapis, 30 atlet luar program Majlis Sukan Negara dan sembilan atlet paralimpik.

Malaysia hanya akan menyertai 14 daripada 17 jenis sukan yang merangkumi 130 acara iaitu 67 acara lelaki, 55 acara wanita serta lapan acara sukan para.

Acara sukan yang akan disertai Malaysia ialah akuatik (renang dan terjun), angkat berat, badminton, berbasikal, boling padang, gimnastik (artistik dan berirama), hoki, judo, menembak, olahraga, ping-pong, ragbi, skuasy dan tinju.

Antara fakta menarik untuk edisi Sukan Komanwel kali ini ialah pingat emas ke-3,000 akan dianugerahkan pada temasya kali ini sejak ia diperkenalkan buat kali pertama pada 1930.

Sementara itu maskot Sukan Komanwel Glasgow, Clyde, bukan sejenis haiwan seperti mana dilihat pada temasya sukan sebelum ini, tetapi sebaliknya ia adalah pokok bunga Thistle yang menjadi lambang Scotland dan nama Clyde pula adalah inspirasi daripada nama sungai yang mengalir di sekitar Glasgow. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan