Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

‘Suamiku penyeluk saku’

SUSPEK ditahan orang ramai selepas didapati cuba menyeluk saku beg duit seorang wanita di Pasar Tamu, Putatan.

 

PENAMPANG: Luluh hati seorang isteri apabila mengetahui seorang penyeluk saku yang dikejar dan dibelasah sebelum diikat orang ramai di Pasar Tamu Putatan, di sini, pagi tadi, adalah suaminya.

Ketika kejadian jam 8.30 pagi itu, suspek dipercayai cuba menyeluk beg duit seorang wanita namun berjaya ditangkap oleh orang ramai selepas mangsa menjerit meminta tolong.

Suspek kemudian diikat sementara menunggu pihak polis, sebelum tiba-tiba seorang wanita menghampiri dan memeluk suspek.

“Kenapa sayang buat macam ini? Sepatutnya sayang di rumah waktu ini,” rintih wanita itu yang dipercayai isteri lelaki terbabit sambil dikerumuni orang ramai.

Wanita berkenaan menangis sambil berulang kali bertanyakan punca lelaki terbabit melakukan perbuatan itu.

Situasi itu mengundang rasa simpati orang ramai kepada wanita terbabit selain geram kepada suaminya yang menjadi penjenayah dan menyusahkan orang lain.

Tidak lama selepas itu, sepasukan polis tiba di lokasi kejadian selepas menerima maklumat mengenai kejadian.

Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Putatan, di sini, untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan suspek ditahan selepas disyaki melakukan jenayah seluk saku beg duit seorang wanita di kawasan pasar tamu berkenaan.

“Suspek berusia dalam lingkungan 30-an ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya. – Oleh Junaidi Ladjana/BH Online

Komen


Berita Berkaitan