Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

STATUS SABAH DAN SARAWAK SEBAGAI RAKAN SEKUTU DALAM PERSEKUTUAN MALAYSIA AKAN DIKEMBALIKAN: TUN MAHATHIR

Tun Dr Mahathir Mohamad berucap di Astaka Padang Merdeka sempena Hari Malaysia ke-55 tadi. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan bahawa status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu dalam Persekutuan Malaysia akan dikembalikan oleh Malaysia Baharu pimpinan Pakatan Harapan.

Katanya, semasa pembentukan Malaysia yang termeterai secara rasmi pada 16 September 1963 dalam perjanjian yang dipanggil Malaysia Agreement atau MA63, keempat-empat wilayah iaitu Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura adalah “equal partners” atau rakan yang seangkatan – berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.

“Bagaimanapun, perjalanan yang dilalui Malaysia sejak itu agak berliku dan dua tahun selepas pembentukan Malaysia, Singapura terkeluar dari gabungan. Tahun-tahun berikutnya telah juga menukar status Sabah dan Sarawak dari rakan sekutu kepada negeri-negeri di dalam Malaysia,” katanya.

Kerajaan Pakatan Harapan mengambil maklum mengenai perkara ini dan pengembalian status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada proses yang akan dilaksana setelah kajian MA63 disiapkan, katanya dan disambut dengan tepukan gemuruh dari lebih 30,000 pengunjung di Padang Merdeka tadi.

Dalam ucapan sempena Hari Malaysia ke-55, Dr Mahathir turut berkata bahawa pengembalian status Sabah dan Sarawak sebagaimana di dalam MA63 menjadi asas lebih kukuh untuk mengeratkan hubungan ketiga-tiga wilayah.

“Pastinya keperluan-keperluan pembangunan Sabah dan Sarawak perlu diberi perhatian kerana masih terdapat daerah-daerah yang mundur dan kelengkapan yang amat daif,” katanya, sambil menambah kajian MA63 juga pastinya akan menimbulkan keperluan penilaian semula beberapa amalan yang telah terlaksana sebelum ini.

“Harapan kita, apa saja penilaian semula yang dilakukan terhadap amalan-amalan ini perlulah dilakukan di dalam semangat setia kawan, saling menghormati dan sikap tolak ansur yang tinggi di antara kita.

“Tanpa semangat dan sikap ini, kesatuan kita sebagai satu Negara dan satu Bangsa akan terhakis dan keindahan yang kita kecapi bersama selama ini akan hilang di masa akan datang,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan pasti tidak akan melupakan tanggungjawabnya kepada Sabah dan Sarawak dan akan mencari jalan untuk memajukan infrastruktur yang akan dilaksana mengikut kehendak dan keperluan rakyat di sini.

“Di masa yang sama, saya yakin, hubungan antara rakyat yang terjalin begitu lama pasti
menyedarkan kita betapa perlunya terdapat semangat “reciprocity” atau timbal balik diantara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Atas semangat ini, pemimpin dan rakyat Sabah dan Sarawak pastinya sedar ada diantara negeri-negeri di Semenanjung yang juga masih serba kekurangan dan memerlukan bantuan yang berterusan dari Kerajaan.

“Saya yakin rakyat Sabah dan Sarawak berasa senang dan diterima di Semenanjung kerana kehadiran mereka di sana tidak ada sebarang sekatan atau “encumberances”.

“Ini saya percaya telah berjaya mengeratkan hubungan sesama kita sebagai rakyat Malaysia. Keakraban yang terbina inilah yang telah membantu Malaysia kekal walaupun ada ketikanya timbul perbezaan pendapat diantara pemimpin-pemimpin dari ketiga-tiga wilayah ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata telah banyak yang kita lalui bersama di dalam Negara yang kita panggil Malaysia.

“Benar, perjalanannya tidaklah sentiasa lancar dan tersusun. Adakala kita tergelincir dan hilang arah. Yang penting, keupayaan kita “to pick ourselves up’ atau bangun dan kembali ke landasan yang betul,” katanya.-SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan