Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,643

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Status buaya sebagai haiwan dilindungi dilucut

6:57pm 03/10/2016 Pak Roshan 2701 views Mutakhir,Nasional
buaya

BUAYA tidak lagi disenaraikan sebagai haiwan liar yang dilindungi seperti yang termaktub dalam Ordinan Hidupan Liar Sarawak 1998.

KUCHING: Buaya bukan lagi haiwan dilindungi sepenuhnya apabila Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perdagangan Flora dan Fauna Terancam (CITES) di Johannesburg, Afrika Selatan, hari ini membenarkan buaya di Sarawak diburu untuk tujuan komersial.

Keputusan CITES itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azizan Ahmad, yang sedang menghadiri konvensyen itu di Afrika Selatan, kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, semalam.

Wan Junaidi berkata, berikutan keputusan itu buaya tidak lagi disenaraikan sebagai haiwan liar yang dilindungi seperti yang termaktub dalam Ordinan Hidupan Liar Sarawak 1998.

“Keputusan itu hanya membabitkan isu pemburuan buaya di Sarawak kerana kajian mengenai kesan konflik antara buaya dengan manusia hanya dilaksanakan di negeri ini manakala di Semenanjung dan Sabah, belum ada sebarang kajian dibuat mengenainya.

“Kita akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan di Sarawak terutamanya Jabatan Hutan Sarawak yang bertanggungjawab terhadap perlindungan hidupan liar dan menetapkan tempoh enam bulan untuk memastikan peraturan baharu yang membenarkan pemburuan buaya dilaksanakan,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, hari ini.

Wan Junaidi berkata, antara yang akan dibincangkan dengan kerajaan negeri Sarawak ialah pemberian lesen kepada penduduk kampung untuk memburu buaya kerana ianya akan membantu meningkatkan pendapatan mereka.

“Kita tidak mahu lesen pemburuan itu diberikan kepada syarikat besar sebaliknya keutamaan harus diberikan kepada penduduk di kawasan pedalaman terutamanya di kawasan yang kerap berlaku konflik antara buaya dengan manusia,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan perangkaan yang dibuat tahun lalu, sebanyak 13,500 ekor buaya dikenalpasti mendiami lebih 40 sungai utama di Sarawak dan jumlah itu agak membimbangkan berikutan konflik antara reptilia itu dengan manusia kerap tercetus. – BH Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan