Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

SSM Peruntuk Modal RM900k Untuk Usahawan Sabah

KOTA KINABALU- Program Jualan Sentuhan Rakyat (PJSR) yang telah dilaksanakan secara meluas di seluruh negara sejak Januari yang lalu akan diperluas dan dilaksanakan dengan lebih kerap di seluruh Sabah berikutan sambutan yang sangat menggalakkan yang diterima di seluruh negara.

YAB Perdana Menteri semasa merasmikan Karnival Jualan Sentuhan Rakyat dan Biz Fair Peringkat Negeri Sabah di sini pada hari ini memberitahu program ini merupakan satu inisiatif kerajaan untuk membantu para pengguna di Malaysia dalam mendapatkan barangan keperluan asas dan keperluan harian dapur dengan harga yang secara lebih murah daripada harga pasaran setempat.

Melalui PJSR pengguna boleh mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian, keluaran hasil pertanian dan barangan proses seperti ayam, beras, minyak masak, gula, tepung serta hasil laut dengan harga yang lebih rendah di antara lima hingga 20 peratus daripada harga pasaran setempat.

Malah ada di antara beberapa siri PJSR yang telah berlangsung menawarkan barangan keperluan harian dan keperluan dapur dengan potongan harga yang sangat rendah sehingga lebih daripada 50 peratus daripada harga pasaran setempat.

Impak pelaksanaan PJSR ini sangat signifikan dalam membantu menangani kos sara hidup dan inisiatif ini bukanlah hanya bermusim malah model perniagaan PJSR ini kini terbukti berkesan dalam mempengaruhi harga barangan secara lebih kompetitif dan turut membantu menurunkan harga di sesetengah kawasan agar setanding dengan PJSR, selain menangkis tohmahan pihak-pihak tertentu yang pada awalnya cuba memperlekehkan pelaksanaan PJSR ini dengan mengatakan bahawa program ini tidak mapan dan akan gagal.

PJSR yang baru dilaksanakan pada 20 Januari yang lalu telah berlangsung sebanyak 458 siri di seluruh Negara melibatkan jumlah jualan melebihi RM20 juta sepanjang tempoh tersebut.

Di Sabah sahaja, 31 siri PJSR telah dilaksanakan di dengan keseluruhan jualan berjumlah RM2,774,873.00 serta pengunjung yang terlibat pula seramai 75,000 orang membuktikan bahawa program ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan dari seluruh kelompok masyarakat terutamanya golongan B40 dan M40 yang begitu menghargai keprihatinan kerajaan dalam mempertingkatkan usaha untuk menangani cabaran kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat.

Malah rata-rata pengunjung yang hadir memberitahu agar program ini wajar diteruskan di masa-masa yang akan datang kerana mereka berpeluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan asas dan keperluan dapur dengan harga yang sangat murah dan lebih rendah dari pasaran setempat.

Selain itu, di majlis yang sama juga, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah melancarkan program Biz Fair untuk bakal usahawan di Malaysia terutamanya di Sabah.

Tujuan utama program ini adalah untuk membantu memberi modal awal perniagaan bernilai sehingga RM3,000.00 dalam bentuk barangan dan perkasasan khusus kepada 300 bakal usahawan di negeri Sabah.

Mereka ini akan dipilih menerusi satu sesi pemilihan khas yang berbentuk temuduga oleh tiga orang panel.

Bakal usahawan hanya perlu mengemukakan cadangan perniagaan yang mereka ingin jalankan dan mereka akan turut diminta untuk berkongsi aspirasi mereka untuk mengorak langkah lebih jauh dengan modal yang diberikan.

Sebanyak 10 industri yang digariskan oleh SSM untuk diceburi oleh bakal usahawan, iaitu jualan air minuman, perkhidmatan DJ Perkahwinan, perkhidmatan menjahit, baik pulih rumah, gerai burger, pembuatan kuih-muih, perusahaan perabot, fotografi, perusahaan kebun/dusun/nursery dan perusahaan bakeri.

Program Bizfair pada hari ini merupakan siri kedua dianjurkan oleh SSM. Siri pertama Karnival Bizfair SSM telah dilaksanakan di Arena Batu Kurau, Perak.

Pada program tersebut YB Bato’ Sri Hamzah Zainudin, Menteri KPDNKK telah mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta untuk memastikan SSM dapat mewujudkan lebih ramai usahawan serta memberikan peluang kepada mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan menjalankan perniagaan.

YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia turut mengumumkan 300 orang calon yang berjaya sesi temuduga terbuka dan memperoleh bantuan awal memulakan perniagaan bernilai RM3,000.00 daripada SSM.

Perdana Menteri dalam ucapannya berharap agar mereka yang menerima sumbangan kewangan dari kerajaan ini, memanfaatkannya sebaik mungkin sebagai modal untuk terus maju dalam dunia perniagaan.

Pada majlis ini juga, Najib turut menyerahkan zakat korporat SSM berjumlah RM200,000.00 dan juga sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) #SSMPrihatin sebanyak RM200,000.00 kepada Ketua Menteri Sabah.

Zakat korporat SSM tersebut akan diagihkan kepada 1000 orang asnaf termasuk beberapa buah surau dan masjid yang terdapat di sekitar negeri Sabah, manakala sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) #SSMPrihatin sebanyak RM200,000.00 pula akan diagihkan kepada 2000 orang penduduk tempatan yang layak.

Turut hadir pada Karnival Jualan Sentuhan Rakyat dan Biz Fair Peringkat Negeri Sabah pada hari ini ialah Ketua Menteri Sabah, YAB Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Menteri KPDNKK, YB Dato’ Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, YBhg. Dato’ Zahrah Abd Wahab Fenner.

Sila ikuti laman Facebook rasmi SSM di sini untuk mengikuti siri jelajah SSM Bizfair, mana tahu karnival hebat ini akan sampai pula di lokasi berdekatan anda! –MYNEWSHUB

Komen


Berita Berkaitan