Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,655

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

SPRM Sabah Tahan Tujuh Pegawai Bank Dan Seorang Bekas Pegawai

8:50am 09/09/2016 Pak Roshan 1153 views Jenayah,Mutakhir

sprm

KOTA KINABALU : Suruhanjaya pencegahah Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan tujuh pegawai dan seorang bekas pegawai sebuah bank kerana disyaki memalsukan dokumen pinjaman bank.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Shaharom Nizam Abdul Manap tiga suspek lelaki berusia antara 25 dan 27 tahun ditahan antara jam 10.35 malam dan 10.47 malam, di Starbucks, 1Borneo Hypermall di sini, Selasa lepas.

Katanya, penahanan tiga individu berkenaan dibuat selepas SPRM menerima laporan daripada pengadu, seorang penjawat awam berusia 33 tahun, pada 2 Sept lepas bahawa dua pegawai bank berkenaan meminta RM7,000 untuk memudahkan permohonan pinjamannya.

Susulan penahanan itu, katanya, pihaknya menyerbu cawangan bank berkenaan di sini dan di Likas dan rumah seorang kakitangan bank di sini.

“Hasil serbuan, sejumlah barang telah disita seperti sebuah komputer riba, sebuah komputer peribadi, enam buah telefon bimbit, sejumlah cap getah yang disyaki palsu dan dokumen-dokumen pinjaman peribadi di bank (berkenaan),” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Menurut Shaharom Nizam, serbuan ke tiga premis serta rampasan pelbagai barangan berkenaan membawa kepada penahanan lima lagi pegawai bank itu yang berumur antara 26 hingga 29 tahun, semalam.

Katanya kelima-lima lelaki berkenaan ditahan antara jam 7.47 malam hingga jam 11.35 malam di pejabat SPRM Sabah.

Katanya tiga individu yang ditahan Selasa lepas telah ditahan reman selama enam hari bermula semalam manakala lima lagi suspek yang ditahan semalam telah ditahan reman tujuh hari bermula hari ini.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan