Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,702

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

SPRM Cari 40 Saksi Bantu Siasat Kes Rasuah RM3.3b

12:44am 07/10/2016 Pak Roshan 1884 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

sprm

KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti sekurang-sekurangnya 40 orang saksi bagi membantu siasatan berhubung penyalahgunaan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion di Sabah.

Menurut sumber yang rapat dengan pasukan penyiasatan kes itu, saksi-saksi berkenaan, yang kebanyakannya merupakan pegawai daripada sebuah jabatan kerajaan di sini dan kontraktor berkaitan, akan dipanggil dalam masa terdekat.

“Setakat hari ini, SPRM telah merakam percakapan enam individu yang dipercayai dapat membantu siasatan SPRM. Kesemua mereka merupakan kakitangan sebuah jabatan kerajaan dan syarikat yang dipercayai telah menerima kontrak daripada jabatan berkenaan.

“SPRM telah menubuhkan satu pasukan khas sejak siasatan terhadap kes ini dimulakan tahun lalu yang mana lebih 70 pegawai SPRM terlibat dalam operasi ini,” menurut sumber berkenaan.

Sumber berkenaan mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki semalam yang mendedahkan mengenai penahanan empat individu termasuk pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan di sini.

Dalam sidang akhbar semalam, Azam mendedahkan rampasan wang tunai berjumlah RM114.5 juta daripada pengarah, timbalan pengarah, ahli perniagaan serta anggota keluarga mereka yang disyaki ada kaitan dengan penyalahgunaan kuasa berkenaan.

Sumber berkenaan seterusnya berkata setakat ini, tiada tangkapan baharu dibuat dan pegawai SPRM masih giat mengumpul keterangan saksi-saksi dan dokumen berkaitan di samping merakam percakapan keempat-empat suspek yang telah ditahan reman.

Kesemua empat suspek berkenaan sedang ditahan reman tujuh hari bermula semalam.

Menurut sumber berkenaan, pengarah berkenaan disyaki menggunakan lebih 17 syarikat yang dimiliki adik beradik dan proksinya manakala timbalan pengarah pula disyaki menggunakan 21 buah syarikat milik adik beradik beliau dalam menjalankan kegiatan mereka.

Mengenai kemungkinan suspek mempunyai akaun simpanan luar negara, sumber berkenaan berkata pihak SPRM juga akan mendapatkan kerjasama negara lain melalui Bantuan Undang-undang Bersama (MLA) untuk mendapatkan maklumat berhubung akaun bank yang dimilik suspek di luar negara.

Menurut sumber berkenaan, SPRM juga masih menilai dan menentukan nilai barang kemas, jam tangan dan geran tanah yang telah disita dalam serbuan tersebut.

Mengenai nilai 94 beg tangan pelbagai jenama milik isteri seorang daripada suspek yang dirampas itu, sumber tersebut berkata nilainya lebih kurang RM500,000.

“Setakat ini tidak ada ahli keluarga mana-mana suspek yang telah melarikan diri ke luar negara dan mereka juga akan dipanggil untuk membantu siasatan dalam masa terdekat,” katanya.

Sumber tersebut juga menyebut bahawa SPRM akan mengkaji pemilikan harta semua suspek secara meluas dan satu perintah pengisytiharan harta di bawah Seksyen 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, akan dikemukakan kepada kedua-dua suspek.

Sementara itu, Azam ketika dihubungi mengesahkan maklumat tersebut. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan