Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

SOSMA mansuh atau tidak?

DATUK Azis Jamman menyampaikan ucapan Perasmian Mesyuarat Ketua – ketua Pengarah Jabatan Imigresen ASEAN (DGICM) ke 22 di Grand Ballroom Hotel Royale. – Foto Mohd Yusni Ariffin

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mendapatkan pandangan institusi kehakiman, Majlis Peguam Malaysia, agensi penguatkuasaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dalam mengkaji sama ada untuk memansuhkan atau tidak Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ia berikutan jika dimansuhkan, akan membawa kesan kepada usaha pencegahan jenayah di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman, berkata pandangan daripada pihak berkenaan akan diambil daripada aspek positif dan negatif.

Katanya, sebelum ini ada cadangan supaya SOSMA dimansuhkan kerana akta itu disalahgunakan parti politik tertentu, namun kerajaan kini perlu mengambil kira kebaikannya dalam aspek pencegahan jenayah.

“Sebenarnya, SOSMA adalah akta yang baik terutama dalam aspek pencegahan jenayah, cuma ia disalahgunakan oleh parti politik tertentu.

“Jadi, kerajaan sedang meneliti kembali akta ini menerusi pandangan pelbagai pihak yang terbabit dalam penggunaannya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Ketua-Ketua Pengarah Jabatan Imigresen ASEAN (DGICM) Ke-22, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Azis berkata, ada pelbagai kes jenayah berat terutama membabitkan kegiatan pengganas yang memerlukan akta itu dan kerana itu, jika akta itu dikekalkan, perkara yang perlu ditekankan adalah supaya ia tidak disalahgunakan.

Sementara itu, beliau menyambut baik idea mengenai penubuhan Blok Imigresen, yang disertai negara anggota ASEAN.

Katanya, ia mampu memberi manfaat kepada kerajaan dalam menangani jenayah rentas sempadan.

Dalam perkembangan lain, Mustafar berkata, DGICM yang disertai 10 negara ASEAN seperti Indonesia, Filipina, Thailand, Singapura, Kemboja serta Vietnam, berlangsung selama dua hari sehingga esok.

Antara lain, ia akan membincangkan mengenai penyeludupan migran, selain perkongsian teknologi dan maklumat membabitkan kawalan keselamatan sempadan di setiap negara. – BH Online

Komen


Berita Berkaitan