Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

SOP Operasi EssCOM Dinilai Semula – Ahmad Zahid

hazidesscom

KOTA KINABALU– Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Prosedur Operasi Standard (SOP) Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) akan dinilai semula bagi memperbaiki sebarang kelemahan yang ada.

Ahmad Zahid berkata penilaian semula SOP ESSCom perlu dilakukan kerana percaya tidak ada SOP yang sempurna dan masih ada ruang untuk memperbaiki SOP berkenaan atas faktor perubahan keadaan semasa serta atas permintaan masyarakat.

“Kami ingin melihat semula tentang SOP dan juga sebarang tugas yang selama ini telah berjalan. Tentu masyarakat mempertikaikan mengapa masih berlaku pencerobohan, kenapa masih berlaku penculikan?,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa dengan warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini Khamis.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan bekas Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

Beliau berkata selain kelengkapan aset dan tenaga manusia, ESSCom juga akan memberi perhatian serius kepada aspek risikan atau pengumpulan maklumat dan ia akan dilakukan melalui kerjasama antara bahagian risikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ahmad Zahid berkata bahagian risikan pasukan keselamatan Malaysia juga akan bekerjasama dengan bahagian risikan tentera Filipina dan unit pengumpulan maklumat polis negara berkenaan.

“Ia untuk menjaga kepentingan negara ini dan pada masa sama menjaga kepentingan rakyat dan kerajaan Filipina sendiri kerana masalah yang dihadapi kini datang dari Wilayah Selatan negara itu.

“Jadi mudah-mudahan dengan jalinan ini akan merupakan sebagai era baharu kepada kepimpinan pengoperasian ESSCom yang akan diambil alih secara rasmi oleh PDRM pada 15 Julai ini,” katanya.

Mengenai pengambilalihan sepenuhnya pengoperasian ESSCom oleh PDRM, Ahmad Zahid berkata pihak KDN dan PDRM mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memberi kepercayaan kepada agensi kementeriannya mengendalikan sepenuhnya pengoperasian ESSCom.

Katanya meskipun tanggungjawab yang bakal dipikul PDRM adalah berat namun yakin dengan kerjasama yang diberikan oleh ATM serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) akan merealisasikan operasi yang cukup terkini.

Mengenai kedudukan Ketua Pengarah ESSCom Datuk Mohammad Mentek, Ahmad Zahid berkata ia akan ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Perdana Menteri.

Mengulas pembebasan pengurus pusat ternakan ikan warga China, Yang Zai Lin, 34, yang culik dari Pulau Baik, Lahad Datu pada 6 Mei lepas dan diselamatkan awal pagi ini, Ahmad Zahid berkata kejayaan menyelamatkan mangsa adalah berdasarkan hasil maklumat yang diterima.

Komen


Berita Berkaitan