Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sokongan UMNO, BN Sabah kepada pimpinan parti tidak berganjak

Musa (tengah) bersama pemimpin UMNO dan BN negeri bergambar kenangan selepas perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Libaran. - foto ihsan JKM
Musa (tengah) bersama pemimpin UMNO dan BN negeri bergambar kenangan selepas perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Libaran. – foto ihsan JKM

SANDAKAN – Kesetiaan dan keikhlasan merupakan azimat dan pegangan yang sentiasa menjadi pegangan serta perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dari dahulu hingga sekarang.

Justeru, amanah itu akan diteruskan kerana ia adalah tunjang kekuatan parti dan cara UMNO Sabah selama ini agar terus kekal relevan kepada ahli parti serta rakyat, khususnya.

Dalam ucapan perasmian UMNO Bahagian Libaran, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menjelaskan bahawa, sokongan dan kesetiaan UMNO dan BN negeri kepada pucuk pimpinan parti tidak pernah berganjak.

“Kita di Sabah dahulu dan kini dapat menjalankan tangungjawab diamanahkan oleh pucuk pimpinan. Justeru, kita sentiasa mengikuti peraturan dan perlembagaan parti… dengan kesetiaan itu, selama ini jelas menunjukkan kekuatan dan kemantapan UMNO Sabah.

“Oleh sebab itulah, apabila pucuk pimpinan kita cuba diganggu gugat oleh pihak tidak bertanggungjawab, awal-awal lagi kita UMNO Sabah tetap berdiri teguh bersama-sama pucuk pimpinan,” tegas beliau semasa menyampaikan amanat tersebut di Dewan Serbaguna, Libaran di sini hari ini.

Sejurus selepas itu di tempat yang sama, beliau bersama tetamu kehormat yang lain menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Libaran yang diadakan di perkarangan dewan tersebut.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Yahya Hussin; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Senator Datuk Seri Mohd Salleh Tun Said serta sayap kepimpinan UMNO Bahagian Libaran.

Musa berkata, meskipun UMNO dan BN Sabah kekal diiktiraf sebagai fix deposit, gelaran tidak menjadikan negeri ini meninggi diri, jauh sekali takbur kerana semua pemimpin dan ahli parti perlu mengutamakan perjuangan serta bekerjasama agar dapat membangunkan dan membantu rakyat.

Menurut beliau, tema `Kesetiaan dan Keikhlasan Kepada Pemimpin dan Parti’ turut ditekankan dalam mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian itu semalam.

Musa ketika berucap sempena Mesyuarat UMNO Bahagian Libaran. - foto ihsan Jabatan Penerangan Sabah
Musa ketika berucap sempena Mesyuarat UMNO Bahagian Libaran. – foto ihsan Jabatan Penerangan Sabah

Selama ini, katanya, UMNO negeri berada dalam landasan yang betul, namun peringatan kepada semua ahli parti perlu terus bekerjasama dan bersatu hati untuk memastikan UMNO bahagian masing-masing sentiasa kuat dan mantap.

“Saya juga selalu mengingatkan kepada rakan-rakan YB, ADUN dan MP supaya sentiasa sedar dan bertanggunjawab apabila diberi kuasa dan dipilh rakyat bukan keistimewaan tapi amanah dan itulah yang kita lakukan di Sabah.

“Apabila ada masa terluang, turun melihat, berjumpa dengan ahli-ahli kita akar umbi supaya kita sedar nun di sana ada lagi rakyat yang memerlukan pembelaan dan pertolongan.

“Dengan kesedaran inilah, kita terus menjalankan tugas sebaiknya. Perjumpaan seperti ini kita terus boleh memberi penerangan penjelasan berkenaan dasar-dasar parti yang telah dillhamkan dan laksanakan khusus oleh pucuk pimpinan kita,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menggesa sayap parti menguasai media sosial agar mereka dapat mengetahui apa yang berlaku berkaitan isu semasa dalam negara.

“Sekarang adalah zaman Internet, kalau kita tidak sedar, peka akan ketinggalan. Yang penting kita beri persepsi betul kepada rakyat. Kita menghadapi bermacam persepsi, fitnah dan tohmahan oleh parti pembangkang dan anasir tidak bertanggungjawab,” jelasnya.

Maka itu, Musa menegaskan ahli parti tidak perlu takut dan ragu kerana ia merupakan tanggungjawab mereka untuk melakukan counter attack ke atas pihak terbabit.

Tindakan itu penting, katanya untuk memperbetulkan persepsi terhadap parti agar rakyat terus yakin dan menyokong UMNO dan BN. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan