Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sokongan Rakyat Sabah Kepada BN Masih Kuat

KOTA BELUD – Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak yakin sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) di seluruh Sabah masih kuat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Kota Belud itu berkata bagaimanapun ini tidak bermakna jentera parti BN Sabah boleh berdiam diri, sebaliknya perlu terus bekerja keras untuk menentukan kemenangan lebih besar BN di negeri berkenaan. 

“Saya berkesempatan melawat daerah di Sabah untuk melihat perkembangan keseluruhannya BN di Sabah… dan saya melihat sokongan rakyat terhadap BN masih baik. Oleh itu sudah tentu kita akan mendapat kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama pengundi masyarakat Cina di Kampung Tombol dekat sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jentera Gerakan Daerah Mengundi Sumu Kaum Cina Kota Belud Ting Hoei Ming.

Salleh berkata sokongan masyarakat Cina di Kota Belud kepada BN semakin baik kerana mereka sedar dan faham bahawa hanya kerajaan BN yang dapat menentukan pembangunan di daerah itu terus dilaksanakan.

“Saya gembira kerana pada hari ini kita lihat bukan sahaja pengundi lama yang menyokong kita tetapi kita juga mendapat sokongan daripada golongan muda dalam kalangan masyarakat Cina,” katanya.

Sehubungan itu, Salleh meminta semua jentera BN di kawasan Parlimen Kota Belud, khususnya jentera parti BN dalam masyarakat Cina, agar terus melipatgandakan kekuatan jentera masing-masing dan memastikan penyokong BN keluar awal mengundi pada Rabu ini.

“Kita kena pastikan pengundi BN lebih awal keluar untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing dan menzahirkan sokongan padu kepada parti pemerintah,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai tinjauannya di Tamu Minggu Kota Belud pagi tadi, Salleh berkata pihaknya faham dengan ketidakselesaan para peniaga di pasar tersebut berikutan projek naik taraf yang sedang dijalankan.

“Saya akan minta pejabat daerah untuk memastikan tapak tamu sementara itu dapat ditentukan keselesaannya.

“Kita lihat banyak yang perlu dibaiki dan saya akan berbincang dengan pihak Majlis Daerah Kota Belud untuk menentukan kawasan itu lebih selesa kerana tamu tersebut penting untuk peniaga… di situ mereka mencari nafkah hidup dan kita sebagai kerajaan memerintah akan menentukan keselesaan para peniaga,” katanya. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan