Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sokongan komuniti Cina terhadap MCA kembali bertaut

MCA Bahagian Penampang menyampaikan sumbangan kepada Jonathan Wong, wartawan Morning Post.- foto Jabatan Penerangan
MCA Bahagian Penampang menyampaikan sumbangan kepada Jonathan Wong, wartawan Morning Post.- foto Jabatan Penerangan

KOTA KINBALU – Sokongan masyarakat Cina terhadap MCA mampu dikembalikan dan diperkukuhkan lagi dari masa ke semasa agar parti terus relevan dalam mewakili suara kaum tersebut dalam kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, perasaan muhibbah dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat terutama kaum Tiong Hua yang hadir ke rumah terbuka Tahun Baharu Cina tahun ini yang dianjurkan oleh parti itu, jelas membuktikan penerimaan mereka kepada MCA.

“Nampaknya, di mana sahaja saya pergi (rumah terbuka Tahun Baharu Cina) ramai sekali orang Tiong Hua yang datang memberikan sokongan. Termasuklah Rumah Terbuka MCA Bahagian Penampang hari ini,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Musa berkata demikian selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka MCA Bahagian Penampang yang diadakan di Dewan Sekolah Tinggi Kota Kinabalu (KKHS), Kota Kinabalu. Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Salleh Tun Said; Timbalan-timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Yahya Hussin,; Pengerusi MCA Bahagian Penampang, Datuk Paul Kong Shin.

Musa Aman dan Faridah Tussin (tengah) bersama tetamu mengaul `lau sang' semasa menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina PBS. - foto Ille Tugimin
Musa Aman dan Faridah Tussin (tengah) bersama tetamu mengaul `lau sang’ semasa menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina PBS. – foto Ille Tugimin

Terdahulu, beliau dan isteri, Datin Seri Faridah Tussin, mengadakan kunjungan ke Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Parti Bersatu Sabah (PBS) di Hotel Airport View, Kota Kinabalu.

Hadir sama ialah, Timbalan Ketua Menteri merangkap Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili; menteri-menteri Kabinet negeri serta para pemimpin komponen BN. Dianggarkan lebih 5,000 masyarakat hadir memeriahkan majlis tersebut.

Musa berkata, beliau berharap sokongan dan kerjasama rakyat berbilang kaum di negeri ini yang ada pada hari ini perlu terus wujud dari masa ke semasa.

“Di mana sahaja saya hadir perayaan sambutan (Tahun Baharu Cina) begitu ramai orang dan saya lihat mereka begitu mesra dan gembiran. Ini secara tidak langsung mengukuhkan jalinan hormat-menghormati antara satu sama lain,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi MCA Bahagian Penampang, Datuk Francis Goh berkata, pihaknya cuba menonjolkan pelbagai cara untuk mendekati rakyat terutama dalam memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Pada majlis tersebut, MCA Bahagian Penampang turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM26,000 kepada 260 keluarga di sekitar kawasan Penampang dan Kepayan serta RM15,000 kepada wartawan Morning Post, Jonathan Wong yang lumpuh ketika ini. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan