Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,635

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Soal Jawab Berkaitan Hudud Bersama Professor Dr Jasser Auda

12:28pm 13/08/2016 Zakir Sayang Sabah 52 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Soalan 1: Pada pandangan Prof, adakah hudud perlu dilaksanakan di Malaysia sekarang?

Jawapan: Pada pandangan saya, hudud tak perlu lagi dilaksanakan di Malaysia. Perkara yang lebih utama adalah mencapai konsensus (kata sepakat) dalam banyak perkara, bukannya menimbulkan isu yang boleh membawa kepada perpecahan. Hudud masih belum sesuai dilaksanakan. Perlu mencapai kestabilan terlebih dahulu sebelum melaksanakan hudud.

Soalan 2: Keadaan dan kestabilan macam mana yang dikatakan sesuai bagi pelaksanaan hudud?

Jawapan :
(i) Kena lihat pada المآلات (consequences/kesan). Jika pelaksanaannya membawa kepadaضرار (mudarat) yang lebih besar, pelaksanaannya belum cukup sesuai.
(ii) Apabila indeks syariah tercapai (model seperti Indeks Syariah Malaysia).
(iii) apabila majoriti menyokongnya

Soalan 3: Apakah yang dimaksudkan dengan “majoriti menyokongnya”? Adakah majoriti dikira pada bilangan rakyat dalam negara beragama Islam atau bilangan ahli Parlimen yang menyokong?

Jawapan: Majoriti yang dimaksudkan adalah sesuatu keadaan yang membawa kepada kestabilan masyarakat, bukannya angka atau peratusan yang menyokong. Sekalipun majoriti rakyat dalam negara beragama Islam atau majoriti ahli Parlimen menyokong pelaksanaan hudud (katakanlah 51% menyokong), tidak semestinya ini menandakan hudud sesuai dilaksanakan. Pemerintahan dengan sistem khilafah juga belum sesuai pada waktu itu. Sebabnya, peratusan yang tidak menyokong itu masih besar.

Dalam konteks khilafah, kita seharusnya membina khilafah dengan rakyat yang kuat menyokong sistem tersebut. Contoh macam di Mesir (pada zaman Morsi). Walaupun pemimpin yang pro-Islam dilihat menang ketika itu, pelaksanaan undang-undang Islam masih belum sesuai kerana peratusan rakyat yang tidak menyokong beliau masih tinggi. Jika pelaksanaan tetap dilakukan, akan ada rakyat yang bangun menolak; sekali gus menimbulkan huru-hara dalam negara. Jangan juga jadi seperti Sudan yang penguasaan semakin lemah akibat daripada pelaksanaan undang-undang syariah.

Soalan 4: Bolehkah kita melantik non-Muslim sebagai pemimpin?

Jawapan: Sekiranya non-Muslim itu dilantik melalui saluran demokrasi, kita kena terima. Beliau telah dipilih oleh rakyat. Sekiranya kita tidak mahu menerima dan tidak mahu mengiktiraf non-muslim sebagai pemimpin yang telah dipilih melalui sistem demokrasi, hanya ada dua cara mengubahnya:

(1) Melalui rampasan kuasa yang sudah semestinya bertentangan dengan demokrasi. Rampasan kuasa juga akan membawa kepada pertumpahan darah dan kacau-bilau.
(2) Melalui jalan demokrasi; iaitu melalui pilihan raya. Kita kena tonjolkan nilai-nilai Islam yang baik supaya orang Islam dan bukan Islam yakin bahawa kita mampu dan layak menjadi pemimpin mereka. Ketika itu, kita (orang Islam) akan disokong menjadi pemimpin kepada rakyat.

Soalan 5: Apa pandangan Prof. mengenai ayat  ‘وَلَن تَرْضَى عَنكَ الْيَهُودُ وَلاَ النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ’ (orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan sekali-kali redha kepada kamu sehinggalah kamu mengikut cara hidup mereka) dalam surah al-Baqarah ayat 120?

Jawapan: Ayat itu lebih sesuai dalam konteks akidah dan ملة (cara hidup agama). Namun, dalam aspek-aspek lain seperti muamalat, konteksnya lebih luas dan terbuka.

Soalan 6: Bolehkah maqasid syariah (dalam undang-undang) tercapai sekiranya tuntutan syariah itu sendiri tidak dilaksanakan?

Jawapan: Bagi perkara-perkara yang bersifatثوابت (tetap/tidak boleh diubah), kita perlu tetap laksanakan. Jika tidak, maqasidnya tidak akan tercapai. Namun, bagi perkara-perkara yang bersifat متغيرات (boleh berubah-ubah), keadaannya berbeza.

Soalan 7: Hudud termasuk dalam perkara ثوابت (tetap/tidak boleh diubah) atau متغيرات (boleh berubah-ubah)?

Jawapan: Hudud termasuk dalam perkara ثوابت namun pelaksanaannya termasuk dalam perkara متغيرات. Sebagai contoh:
(i) Pelaksanaan hudud ditangguhkan ketika perang (“Jangan dipotong tangan (pencuri) ketika dalam peperangan”- hadis iwayat al-Tirmizi dan al-Darimi)
(ii) Sayidina Umar menangguhkan hukuman potong tangan ketika zaman kelaparan.

Soalan 8: Hudud hanya melibatkan orang-orang Islam. Mengapa orang bukan Islam perlu ambil peduli? Mengapa orang bukan Islam perlu bersuara?

Jawapan: Orang bukan Islam boleh bersuara kerana ia melibatkan hak mereka. Hak yang dimaksudkan adalah hak untuk mengetahui segala perkara dan pindaan yang terkandung dalam perlembagaan (lebih-lebih lagi apabila pelaksanaan hudud membawa kepada pindaan perlembagaan). Antara kelemahan orang-orang Islam adalah tidak memahami dan cuba mengislamisasikan perlembagaan (macam di Mesir). Tidakkah mereka tahu bahawa perlembagaan melambangkan rakyat negara tersebut? Tidakkah mereka tahu bahawa perlembagaan melambangkan identiti rakyat negara tersebut? Adakah rakyat (khususnya yang bukan Islam) akan bermudah-mudah menerima pindaan dalam perlembagaan? Adakah rakyat akan bermudah-mudah menukar identiti mereka? Untuk melaksanakan hudud, kita sangat-sangat perlu memahami perlembagaan dengan baik.

Adakah syariah hanya semata-mata Hudud?

 

Apabila menyebut mengenai undang-undang syariah, ia bukannya mengenai hudud semata-mata. Syariah juga bukannya mengenai hudud semata-mata. Hudud hanyalah sebahagian daripada syariah. Syariah lebih luas konsepnya. Menegakkan keadilan adalah syariah. Menangkap pencuri duit berbilion-bilion adalah syariah. Memberikan pendidikan juga adalah syariah. Sebagai contoh di Mesir, sekitar 65-75% rakyat tidak tahu membaca. Adakah berkeras dalam melaksanakan undang-undang Islam akan menyelesaikan masalah ini? Undang-undang Islam secara asasnya memang patut dilaksanakan. Namun, pelaksanaan undang-undang syariah dalam aspek politik amat berisiko untuk dikuatkuasakan.

Di negara-negara Arab sebagai contoh, parti-parti Islam hanya tahu bercakap mengenai undang-undang Islam. Mereka hanya tahu bercakap mengenai isu-isu yang sama seperti isu hijab. Kenapa mereka tidak bercakap isu-isu negara? Kenapa mereka tidak bercakap mengenai angkatan tentera luar (Amerika) yang membuat pangkalan di negara mereka? Bukankah itu suatu bentuk penjajahan? Mereka kelihatan memperjuangkan undang-undang Islam atas dasar politik semata-mata, bukannya atas dasar mahu melaksanakan undang-undang tersebut. Mereka juga hanya selalu menekankan keperluan memakai igal dan serban. Mereka mengatakan itu sunah Nabi. Tidakkah mereka tahu itu hanyalah sekadar pakaian orang Arab? Tidakkah mereka tahu bahawa Abu Jahal juga berpakaian sebegitu rupa?

Memahami Kerangka Maqasid Syariah

Imam al-Ghazali pernah menekankan mengenai Maqasid Syariah. Maqasid Syariah mampu menjadi penyelesaian kepada konflik perbezaan pandangan mazhab-mazhab dan isu-isu fiqh yang belum pernah dibincangkan sebelum ini (seperti isu hukum pemindahan organ). Dalam lima ضروريات مقاصد الشريعة (menjaga agama, menjaga akal, menjaga keturunan, menjaga diri dan menjaga harta), tidak ada sesuatu yang melebihi sesuatu yang lain. Semuanya dilihat dan diadili dengan sama rata dan sekali gus. Namun, dalam isu سياسة الشرعية (politik Islam), حفظ الناس (menjaga diri) lebih utama daripada حفظ الدين (menjaga agama). Bagi isu mengenai orang-perseorangan pula, حفظ الدين adalah yang paling utama. Persoalan mengenai hubungan antara Maqasid Syariah dan Fiqh awlawiyyat pula, kedua-duanya ibarat “two sides in the same coin”.

Konklusi

Selepas mendengar pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh Prof. Dr. Jaseer Auda di dalam forum tersebut, di bawah ini saya senaraikan sebahagian daripada ilmu-ilmu yang perlu dikuasai dalam mendepani situasi politik semasa.

  1. Pandangan Islam terhadap demokrasi.

2. الثوابت والمتغيرات (Perkara-perkara yang tetap dan berubah-ubah) dalam Islam.

  1. Perlembagaan Malaysia.

4.فقه المآلات (Melihat kepada kesan jangka masa panjang dengan mempertimbangkan antara kebaikan dan                     keburukan bagi sesuatu pelaksanaan hukum syariah).

  1. فقه الأولويات (Fiqh keutamaan).

Terdapat juga beberapa negara yang perlu dikaji dengan mendalam sejarah politiknya bagi memahami cara berpolitik parti Islam dan natijah yang terhasil daripada tindakan-tindakan tersebut. Negara-negara tersebut ialah, Mesir, Sudan dan negara-negara Arab.

Serba Sedikit Mengenai Profil Prof Dr Jasser Auda

1. Pemegang PhD dalam falsafah undang-undang Islam Universiti Wales.
2. Pemegang PhD dalam analisis sistem Universiti Waterloo, Kanada.
3. Pengerusi Pengajian Maqasid Al-Shatibi di International Peace College, Afrika Selatan.
4. Pengarah Eksekutif Institut Maqasid (badan pemikir global yang berpusat di London).
5. Beliau telah menulis 25 buah buku dalam Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris (sebahagian daripada buku-buku tersebut telah diterjemahkan ke 25 bahasa).
6. Pernah menjadi Profesor di Universiti Waterloo (Kanada), Universiti Alexandria (Mesir), Universiti Islam Novi Pazar (Sanjaq), Fakulti Pengajian Islam Qatar dan Universiti Amerika Sharjah.

Disclaimer :

Artikel ini adalah catatan peribadi penulis (Faris Murtadha) hasil dari temu bual, soal jawab dan penerangan Prof. Dr. Jasser Auda sempena International Forum on Maqasid Shariah: Maqasid Perspectives on First Nation Building (Pembinaan Negara Maju Dari Perspektif Maqasid Syariah) pada 7 Ogos 2016 di Hotel Gurney, Pulau Pinang.

(Sumber: QuranicGen.com)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan